Calvin Klein membuka lembaran tahun baharu dengan satu kempen yang menggoncang jiwa peminat aktor Jeremy Allen White. Foto-foto Jeremy berseluar dalam Calvin Klein dikongsi di media sosial hingga menjadi tular.
Pemilihan aktor yang cukup dikenali menerusi karakternya sebagai Phillip ‘Lip’ Gallagher dalam siri komedi-drama Shameless serta sebagai Chef Carmen ‘Carmy’ Berzatto dalam siri The Bear itu adalah satu pemilihan yang tepat. Mengapa? Sebagai sebuah jenama yang lahir di kota New York, pastinya lebih hidup jiwanya jika dipromosikan oleh figura yang lahir di kota metropolitan itu sendiri.
Jeremy bergaya dalam celana dalam hitam dan putih, rakaman gambarnya beraksi di atas bumbung dengan berlatar belakangkan pencakar langit kota paling sibuk di dunia itu disempurnakan oleh Mert Alas. Dan penampilannya ditatagagayakan oleh Emmanuelle Alt yang memang sudah sinonim dengan kerja-kerja editorial majalah fesyen Vogue.
Menerusi koleksi terbaru ini, Calvin Klein mengolah kembali logo untuk seluar dalamnya. Koleksi ini hadir dengan stail berbeza iaitu Intense Power, Micro Stretch dan Micro Mesh. Tidak ketinggalan, himpunan asas yang sudah jadi kegemaran ramai Modern Cotton dan Cotton Stretch tetap ada melengkapkan koleksi.
FUN FACTS TENTANG JEREMY ALLEN WHITE
1- Dia dilahirkan di Brooklyn, New York pada 17 February 1991. Dia membesar di kejiranan Carroll Gardens yang pada zaman kecilnya dihuni oleh imigran dari Ireland. Hari ini kejiranan itu dihuni ramai orang dari Itali.
2- Dia berhasrat untuk menjadi seorang penari sewaktu kecil. Dia menyertai kelas tarian; tap, jazz dan balet. Namun hasratnya itu dibatalkan bila dia merasakan bidang tarian tidak cukup mencabar dan bukanlah satu hal yang serius baginya.
3- Jeremy sudah pun berkahwin, isterinya aktres Addison Timlin, dan pasangan ini sudah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Ezer Billie (5 tahun) dan Dolores Wild (3 tahun).
4- Demi menghidupkan wataknya di dalam The Bear, dia sanggup bekerja di beberapa dapur restoran terkenal termasuklah Pasjoli (restoran Michelin star) di California. Kongsinya dalam satu temubual, dia bekerja dengan beberapa restoran di Los Angeles, Chicago dan New York demi memahirkan dirinya dengan suasana di dapur. Pengalamannya bekerja di pelbagai restoran ini membuatkan dia sedar ia bukan satu kerja yang mudah.
5- Dia punya enam tatu, antaranya burung dengan catatan nama anaknya, Ezer. Bentuk segi tiga di dada yang dilukis di dada ketika usianya 17 tahun. Ada juga tatu berbentuk hati dengan panah di tengahnya dengan catatan ‘Buddy & Billie’.
BACA: Pertemuan Dua Bintang Calvin Klein Di Tokyo, Jung Kook dan Bright