Tahun 70-an dan 80-an adalah zaman kegemilangan supermodel di mana bintang seperti Kate Moss, Cindy Crawford dan Vanessa Paradis menguasai arena fesyen.
Kini, generasi baharu yang merupakan anak-anak model ternama muncul di pentas peragaan, dada majalah dan kempen kecantikan. Ini barisan model yang mewarisi bakat modeling daripada ibu mereka.
Lila Grace Moss Hack
Lila merupakan anak kepada supermodel 90-an, Kate Moss dan bekas teman lelaki, Jefferson Hack. Walau masih muda, Lila telah membintangi banyak kempen peragaan berprofil tinggi antaranya Marc Jacobs, Chanel dan Miu Miu, juga menjadi penghias kulit majalah milik bapanya sendiri, Dazed.
Dia juga berjalan di pentas fesyen Fendi Musim Bunga/Panas 2021 baru-baru ini di Minggu Fesyen Paris Haute Couture bersama ibunya. Malah, mereka juga berada di bawah naungan agensi model yang sama.
Kaia & Presley Gerber
Wajah Kaia saling tidak tumpah seperti ibunya, Cindy Crawford. Merupakan legenda dalam industri fesyen, Cindy mencipta nama dengan membintang komersil ikonik antaranya iklan Pepsi Diet serta menyertai peragaan fesyen ternama seperti Versace. Hasil usahanya, dia tersenarai dalam gabungan supermodel elit 80-an dan 90-an yang dikenali sebagai The Big Five sebaris dengan Naomi Campbell, Linda Evangelista, Claudia Schiffer, Christy Turlington, dan tidak lama kemudian, Stephanie Seymour.
Cindy dan Kaia boleh dikatakan seperti kembar. Model yang sedang membina nama ini mewarisi gen ibunya dan pernah bekerja dengan jenama besar seperti Calvin Klein, Marc Jacobs, Saint Laurent dan Versace.
Abangnya, Presley Gerber juga mencipta nama dalam peragaan majalah dan pentas fesyen. Pada Januari 2018, Presley menyertai Kaia sebagai wajah kempen pengiklanan global Calvin Klein Jeans, kemudian berjalan untuk Balmain di Minggu Pentas Fesyen Paris 2018.
Kendall Jenner
Walaupun pernah menjadi model sewaktu muda, Kris Jenner menegaskan dia tidak mengenali sesiapa dalam industri peragaan ketika Kendall menyuarakan minat untuk menjadi model.
Namun setelah berhubung dengan jurugambar Victoria’s Secret yang terkenal, Russell Hames, Kris berjaya menetapkan satu perjumpaan yang kemudian mengubah hidup Kendall secara drastik. Kini kakak kepada Kylie Jenner ini telah berjalan untuk pertunjukan fesyen Victoria’s Secret sebanyak tiga kali.
Selain itu, dia pernah muncul dalam pertunjukan fesyen Chanel, Miu Miu, Vera Wang, Michael Kors, Marc Jacobs, Fendi dan Versace. Pada 2017, Jenner dinobatkan sebagai model yang menerima bayaran paling tinggi di dunia oleh Forbes.
Lily-Rose Depp
Model ini memiliki wajah seiras ibunya, Vanessa Paradis yang bergelar pemuzik sebelum menceburkan diri dalam bidang fesyen. Pada 1991, Vanessa muncul sebagai penghias kulit majalah Vogue Paris dan menjadi duta Chanel dalam tahun yang sama. Dia muncul dalam pelbagai kempen kecantikan sejak itu.
Puterinya bersama pelakon Johnny Depp mengikuti jejak langkahnya dalam industri fesyen. Lily-Rose membuat kemunculan pertama di pentas peragaan mewakili Chanel, seterusnya membintangi pelbagai kempen seperti Chanel No.5 L’Eau. Dia kini melebarkan sayap dalam dunia lakonan, berlakon di samping Timothée Chalamet dan Robert Pattinson dalam filem Netflix berjudul The King.
Gigi, Bella & Anwar Hadid
Yolanda Hadid memulakan kerjaya sebagai model di bawah naungan Ford Models. Dia berhijrah dari Netherlands ke New York City untuk melancarkan kerjayanya sebelum mendirikan rumah tangga bersama Mohamed Hadid.
Puteri Hadid, Gigi dan Bella yang menandatangani kontrak bersama IMG Models berjaya mencipta nama sebagai supermodel dengan pantas. Anwar juga berada di bawah naungan agensi yang sama dan telah melakukan pelbagai sesi penggambaran bersama majalah terkenal antaranya VMAN dan Paper.
Foto: Evening Standard