Untuk persembahan lagu KAMU di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), Aina Abdul tampil dalam sebuah rekaan eksperimental dan dramatik hasil sentuhan pereka fesyen terkenal, Melinda Looi.
Lihat saja Aina Abdul di atas pentas AJL40 dengan rekaan yang begitu luar biasa, terus dalam kepala saya terdetik, “Ini mesti rekaan Melinda Looi.” No one can beat her! Walaupun penuh dengan elemen artistik dan dramatik, busana ini masih kelihatan mahal dan sophisticated, tanpa menjadi terlalu costumey.
Bagi saya, that’s when you know she’s a fashion designer, apabila sesuatu yang begitu eksperimental dan teatrikal masih mempunyai nilai fesyen, karakter serta kemewahan yang tersendiri.

Mengangkat gunung berapi dan aliran lava sebagai inspirasi utama, busana ini bukan sekadar kostum persembahan, sebaliknya menjadi medium untuk menterjemahkan kekuatan, keghairahan dan emosi yang terkandung dalam lagu tersebut.
Menariknya, idea gunung berapi itu sendiri bermula daripada Aina. “Aina told me she wants to be a volcano,” kongsi Melinda. Sebaik mendengar idea tersebut, Melinda terus membayangkan penggunaan arang sebagai sebahagian daripada rekaan. Aina pula terus bersetuju dengan cadangan tersebut, “ONs!” katanya.
Namun, apabila timbul idea untuk menjadikan arang itu benar-benar terbakar di atas pentas, Melinda sedar ia mungkin memerlukan “seluruh pasukan bomba” untuk menjayakannya. Jadi, pendekatan itu diterjemahkan dengan cara yang lebih kreatif dan selamat. Elemen api dan lava diwujudkan menggunakan beads dan sequins yang disusun dari bahagian dalam hingga ke luar busana, menghasilkan ilusi letusan yang dramatik.
Apakah cerita atau emosi utama yang Melinda mahu sampaikan melalui rekaan ini?
Melinda mahu menterjemahkan perjalanan emosi KAMU melalui simbol gunung berapi, bermula daripada sesuatu yang tersimpan jauh di dalam, perlahan-lahan membara sebelum akhirnya meletus dan tidak lagi dapat dibendung.
Konsep tersebut turut diterjemahkan melalui akronim KAMU — K untuk Kuasa, A untuk Api, M untuk Membara dan Uuntuk Usai. Kuasa menggambarkan tenaga serta kekuatan emosi yang tersimpan sebelum tercetus, manakala Api mewakili semangat dan keghairahan. Membara pula menggambarkan emosi yang semakin kuat seperti lava yang mengalir dari dalam bumi, sementara Usai menjadi simbol kepada detik pelepasan selepas letusan, satu transformasi daripada emosi yang terpendam kepada kebebasan dan bentuk baharu.
“Saya mahu kostum ini kelihatan seperti sesuatu yang sedang hidup dan bergerak, seolah-olah lava itu sendiri mengalir pada tubuh Aina,” kongsi Melinda.

Busana ini kelihatan seperti gabungan unsur arang, bara dan letusan api. Adakah ia berkait secara langsung dengan mesej lagu KAMU?
Ya. Keseluruhan konsep busana sememangnya berkait rapat dengan mesej dan emosi lagu KAMU. Gunung berapi digunakan sebagai metafora kepada perjalanan emosi, daripada bara yang tersembunyi, menjadi api yang semakin membesar, membara dan akhirnya meletus sebagai sesuatu yang tidak dapat dilupakan.
Sebab itu, kostum ini direka supaya kelihatan seperti sebuah “karya arca yang bergerak”, dengan struktur, tekstur, fringe dan pantulan cahaya yang terus hidup mengikut pergerakan Aina di atas pentas.
Busana ini nampak sangat kaya dengan tekstur. Daripada bahagian yang kelihatan seperti arang, serpihan hingga elemen yang menjuntai, apakah material yang digunakan dan bagaimana setiap material diaplikasikan?
Antara material utama yang digunakan ialah sequin mesh, metallic Lurex polyester, kapas, lima kilogram arang, latex glue, cat akrilik dan Styrofoam. Ia kemudiannya diperkaya dengan 6,000 elemen Swarovski, 80 meter nylon fringes, 60 meter glass bead fringes, selain campuran manik serta sequin kaca dan akrilik.
Penggunaan arang sebenar menjadi antara elemen paling mencuri perhatian. Sebanyak lima kilogram arang digunakan untuk menghasilkan tekstur mentah yang menyerupai permukaan batuan selepas letusan gunung berapi. Ia juga membawa simbol tersendiri, sesuatu yang telah melalui pembakaran dan kehancuran sebelum mengalami transformasi.
Berbeza dengan tekstur gelap arang, ribuan Swarovski dan perincian manik memberikan pantulan cahaya yang menyerupai lava serta mineral yang terdedah kepada haba. Kontras antara permukaan gelap dan kilauan cahaya inilah yang menjadikan busana tersebut kelihatan seolah-olah sedang membara di atas pentas.






