Jika anda gemarkan aksesori yang tampil berbeza daripada kebiasaan, watch ring mungkin pelengkap gaya yang selama ini anda cari.
Watch ring kembali mencuri perhatian sebagai aksesori yang mengaburkan sempadan antara perhiasan dan horologi.
Bukan lagi sekadar alternatif kepada jam tangan klasik, rekaan bersaiz kecil ini hadir sebagai pernyataan gaya yang subtil namun cukup mencolok untuk melengkapkan setiap penampilan.
Popularitinya turut dipacu oleh kebangkitan trend aksesori berinspirasikan era vintaj serta estetika minimal yang semakin menjadi pilihan. Sama ada digayakan secara solo atau dipadankan bersama susunan cincin lain, watch ring menawarkan sentuhan moden yang menjadikannya antara aksesori paling diidamkan pencinta fesyen hari ini.
Fossil Watch Ring Two-Hand Gold-Tone Stainless Steel
Fossil membawakan sentuhan klasik dalam bentuk yang lebih moden menerusi Watch Ring Two-Hand. Diperbuat daripada keluli tahan karat rona emas, aksesori ini menampilkan dail bersaiz 23mm dengan pilihan kemasan hitam atau putih yang menyerlahkan estetika elegan.
Dilengkapi pergerakan Quartz Two-Hand, rekaan ini turut menawarkan ketahanan air sehingga 5 ATM, sesuai digayakan setiap hari. Gelang jenis expansion band menjadikannya mudah dipakai, manakala kemasan emas memberikan sentuhan mewah yang mudah dipadankan dengan pelbagai gaya.
Harga: RM 531
Sempena ulang tahun ke-50 Casio Watch, jenama ini menghidupkan semula konsep ring watch ikonik menerusi CRW-001-1. Direka sepenuhnya daripada logam menggunakan teknologi Metal Injection Molding (MIM), jam cincin digital ini mengekalkan identiti klasik Casio dalam saiz yang jauh lebih kompak. Modul digitalnya dikecilkan sehingga muat dipakai pada jari, namun masih dilengkapi paparan masa, tarikh, dual time dan fungsi stopwatch.
Bukan sekadar aksesori yang unik, CRW-001-1 turut hadir dengan lampu berkelip halus sebagai peringatan visual tentang perjalanan masa. Gabungan teknologi, nostalgia dan reka bentuk futuristik menjadikan jam cincin ini antara model paling mencuri perhatian dalam dunia horologi dan fesyen.
Harga: RM709
Ringkas namun tetap menyerlah, ICE-WATCH Chouchou Gold Pink hadir sebagai jam cincin uniseks yang menggabungkan fungsi dan gaya dalam satu rekaan moden. Diperbuat sepenuhnya daripada keluli tahan karat dengan kemasan rona Gold Pink, ia menampilkan dail minimalis bersaiz 15mm yang digerakkan oleh mekanisme Quartz Ronda.
Rekaannya yang kemas menjadikan aksesori ini mudah digayakan sama ada sebagai pelengkap penampilan harian mahupun sentuhan elegan untuk acara istimewa. Turut menawarkan ketahanan air sehingga 3 ATM, ia membuktikan bahawa aksesori bersaiz kecil juga mampu memberi impak besar pada gaya.
Harga: RM459
GUESS Ladies Large Mod Heavy Metal Silver-Tone Analog Ring Watch
GUESS membawa rekaan jam ikoniknya ke dimensi baharu menerusi Mod Heavy Metal Ring Watch, aksesori yang menggabungkan elemen jam tangan dan barang kemas dalam satu rekaan berani. Menampilkan kemasan perak berkilaudengan bentuk sarung segi empat yang moden, jam cincin ini dipadankan dengan dail rona sunray silver yang memantulkan cahaya dari setiap sudut. Diperbuat daripada keluli tahan karat dan digerakkan oleh mekanisme Quartz Analog, ia bukan sahaja tepat dari segi fungsi, malah menjadi aksesori statement yang menyerlahkan gaya kontemporari. Gelang jenis expansion band turut memastikan pemakaian yang lebih selesa dan mudah disesuaikan.
Harga: RM790




