EH! merayakan bulan Hari Malaysia dengan meraikan himpunan terkini pereka lokal, baru dan lama dan digayakan oleh Ara, yang mungkin saja dianggap ‘wallflower’ bila kita berbicara subjek fesyen!
Arahan Kreatif & Penataan Gaya: Khairul Abidin, Fotografi: Edmund Lee, Pembantu Penataan Gaya: Erdina, Solekan: Sahir Sabri, Dandanan: Bibian Leong.
Kata Ara Johari yang sedang menikmati kemasyhuran singles terbaru ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’, dia amat mengagumi ketersendirian bintang rock, Ella. Baginya figura itu adalah individu paling ‘stail’ di Malaysia. “Dia seorang yang bersahaja tapi memang ada stail. Gayanya timeless,” ujarnya. Dan bagi Ara, ‘stail’ itu banyak berkait dengan personaliti. Stail itu ada kaitan dengan identiti personaliti, yang bila mana kita terlihat satu-satu stail kita akan membayangkan seseorang yang sinonim dengan stail itu.
RIZMAN RUZAINI
Apakah tip atau nasihat buat pereka generasi baru dalam membangunkan jenama mereka?
Cari identiti dan berani untuk mengambil risiko agar setiap karya yang dihasilkan dapat diperkenalkan sebaiknya.
Apakah skop atau proses kerja sebagai pereka yang kamu suka?
Saya sukakan proses mencari ilham kerana saya sendiri memang suka mengkaji kostum sesuatu tamadun dan peradaban sejarah dunia.
Apakah falsafah Rizman Ruzaini dalam rekaan fesyen?
Melestarikan elemen timur dan barat dalam fesyen zaman sekarang.
NURITA HARITH
Apa yang pereka senior boleh usahakan dalam menunjukkan sokongan kepada pereka fesyen generasi baharu?
Sentiasa terbuka untuk berkongsi ilmu dengan generasi baru, yang mungkin punya banyak hal yang mahu mereka ketahui, yang memerlukan nasihat kerana apabila kita membantu, secara emosinya membuatkan mereka sedar bahawa mereka tidak keseorangan lebih-lebih lagi pada waktu yang sukar. Sentiasa memberi mereka semangat dan mereka seharusnya sedar itu semua adalah satu lumrah dalam bidang ini.
Apakah ‘favourite part’ anda dalam kerjaya sebagai pereka fesyen?
Cabarannya adalah apabila anda perlu lakukan sesuatu dengan lebih baik dan kepuasannya bila kita menghasilkan sesuatu yang orang suka, yang our ladies love!
Apakah falsafah anda dalam rekaan fesyen?
Mereka dan menghasilkan sesuatu yang saya sendiri akan gayakannya atau sesuatu yang saya sendiri tidak akan berkompromi dalam penghasilannya.
ZAIMI ZULKAFLI
Apakah proses tugas sebagai pereka fesyen yang kamu gemari?
Saya sukakan prosesnya, dari sekadar lakaran hinggalah menjadikannya ilham itu satu realiti, dari proses dua dimensi, ke tiga dimensi mahupun empat dimensi. Kesemua ini terhasil berbekalkan ilmu, prinsip dan falsafah dalam seni.
Tiga perkataan yang mendefinisi estetika atau identiti Zaimi Zulkafli?
Moden, chic dan mudah pakai (wearable).
Pada pendapat anda, adakah Kuala Lumpur mampu menjadi satu hab fesyen di rantau Asia satu hari nanti?
Semestinya! Negara kita punya bangsa dan etnik nan perlbagai sekaligus kita punya pelbagai subjek untuk diketengahkan, sama ada dalam rekaan mahupun pemasaran. Tetapi ini semua memerlukan sokongan dari pihak tertentu untuk mempromosikan jenama ‘made in Malaysia’ ke peringkat global.
KIT WOO
Apa yang kamu suka tentang menjadi seorang pereka fesyen?
Sebagai seorang pereka fesyen yang bergerak sendiri, saya juga adalah seorang pemilik bisnes, bererti saya adalah penulis, pengarah seni dan juga penerbitnya. Saya bebas membuat apa yang saya mahu, hasilnya boleh jadi bagus atau sebaliknya, semuanya di bahu saya. Saya senang dengan kebebasan sebagai seorang pereka.
Apakah tiga perkataan tepat mentafsir identiti Kit Woo?
Progresif, uncompromising dan narrator.
Pada pandangan kamu, adakah Kuala Lumpur mampu menjadi hab fesyen di rantau Asia di masa hadapan?
Saya yakin boleh but are we there yet? Tidak, tapi tak mengapa kerana masih ada ruang untuk kita mengembangkan industri walaupun kecil. Ekosistem fesyen kita saling menyokong satu sama lain. Harapan saya supaya kerajaan memberi perhatian yang lebih kepada lapangan seni reka dan menggerakkan program yang menyokong perniagaan seni dan rekaan lokal.
MASYADI MANSOOR, MSYD
Apakah proses tugas sebagai pereka fesyen yang anda gemari?
Kreatif proses! Saya sukakan proses memikir dan mengumpul idea dan menjadikan satu-satu konsep itu realiti. Bereksperimen dengan tekstur, fabrik dan siluet untuk mencipta sesuatu yang unik, itu adalah satu terapi bagi saya.
Tiga perkataan yang mendefinisi estetika atau identiti MSYD?
Malar segar, refines dan minimalis.
Pada pendapat anda, adakah Kuala Lumpur mampu menjadi satu hab fesyen di rantau Asia satu hari nanti?
Ya kerana Kuala Lumpur itu sendiri sangat pelbagai dan punya komuniti kreatif yang ‘vibrant’. Dan dengan infranstruktur yang betul, pelaburan dan pengiktirafan global, Kuala Lumpur mampu saja untuk bersaing dengan kota fesyen di rantau ini.
SHALMA AINAA, SHALS KL
Apa yang kamu suka tentang menjadi seorang pereka fesyen?
Peluang untuk mengekspresikan diri secara kreatif unapologetically. Menterjemah inspirasi dan idea ke satu bentuk yang hebat. Satu proses yang sangat menarik dan indah!
Apakah tiga perkataan tepat mentafsir identiti Kit Woo?
Minimalist, elevated-comfort-wear and cool!
Pada pandangan kamu, adakah Kuala Lumpur mampu menjadi hab fesyen di rantau Asia di masa hadapan?
Kuala Lumpur berpotensi menjadi hab fesyen rantau Asia satu hari nanti dan sokongan komuniti adalah elemen penting untuk merealisasikan hasrat ini. Kita punya bakat dan infrastruktur yang hebat.
UZAIR SHOID
Apakah benda paling mencabar dalam kerjaya sebagai pereka fesyen baru?
Sebagai pereka fesyen baru adalah satu cabaran besar untuk kita kekalkan keaslian idea dan identiti dalam setiap koleksi yang dihasilkan. Mengimbangi antara kreativiti dan paraktikaliti juga satu cabaran lain.
Sebagai pereka fesyen baharu, apa yang boleh diusahakan untuk kekal relevan dalam industri fesyen?
Kolaborasi! Menjalin kerjasama dengan pereka fesyen lain, atau jenama mahupun artis dari industri berbeza mampu menjadi batu loncatan dalam memperkenalkan nama kepada audiens lain. Ia juga satu ruang untuk sama-sama menghasilkan sesuatu yang lebih unik, inovatif seiring dengan objektif untuk mengembangkan pasaran ke peringkat yang lebih global.
Apakah langkah seterusnya bagi Uzair Shoid?
Saya boleh kata perkembangan jenama, untuk melihat koleksi saya dipakai oelh pembeli selain mengembangkan rekaan kepada kasut dan tas tangan sebagai satu medium untuk jenama saya dikenali pembeli baru.