Antara kesenian asli dan inspirasi moden, Constantin Riant memberi sentuhan penuh penghormatan buat Paris dan Longchamp untuk satu koleksi eksklusif yang dinamakan sebagai Longchamp X Constantin.
Boleh jadi saya sedikit berat sebelah bila menulis tentang koleksi ini. Mengapa? Kerana saya penggemar warna biru. Jadi, sekilas melihat koleksi ini saya sudah jatuh suka, rasa seakan mahu memiliki semuanya. Tambah pula warna biru kobalt diganding bersama warna putih, it’s masterpiece!
Longchamp mengumumkan kolaborasinya bersama Constantin Riant, artis yang mahir melukis dan membuat seramik. Menerusi koleksi kolaborasi ini, Constantin menyumbang ilham yang secara jelasnya menjadikan Paris sebagai sumber inspirasi utama.
Dia meluangkan masa berjalan-jalan di kota Paris untuk mencari ilham, menjadi pelancong di sekitar kediamannya sendiri. Baginya bila selalu sangat melihat dan merasai suasana sama, kita cenderung meminggirkan keindahannya.
“Kolaborasi saya bersama Longchamp seolah menghidupkan sesi makan angin saya di sekitar Paris. Saya berkarya dengan warna solid, dan di sini palet biru dan putih menyerlahkan permainan tipografi. Sebenarnya, rekaan saya membangkitkan kepentingan dua perkara, pertukangan dan kesenian,” kata Constantin.
Koleksi Longchamp x Constantin menyaksikan keakraban warna biru kobalt dan putih dan paling menangkap perhatian saya secara peribadinya ialah skarf dari himpunan ini. Constantin melakar eksterior kedai-kedai di Paris, memberi perhatian pada seni bina dan juga tipografi yang bagi saya itu adalah esen yang menyerlahkan identiti Paris itu sendiri.
Salah satu rekaan yang signifikan pada koleksi ini ialah rekaan enblem atau lencana yang banyak diabadikan pada helaian dan aksesori. Constantin melakar logo khusus, dan ilhamnya ini adalah satu penghormatan kepada Longchamp sendiri sebagai satu jenama yang memang masyhur dengan pembuatan barangan kulit. Logo ini diabadikan pada jaket, beg tote ikonik Le Pliage, baju-t, baju panas dan overall.
Kata pengarah kreatif Longchamp, Sophie Delafontaine dia memang tertarik dengan kehalusan hasil kerja tangan Constantin. “Kerjanya adalah gabungan seni dan elemen malar segar. Logo yang direka untuk kolaborasi ini adalah refleksi antara seni dan artisan yang memang sudah sinonim dengan Longchamp.”
Klik pautan INI untuk melihat keseluruhan koleksi eksklusif ini.