Balenciaga melancarkan koaborasi bersama Britney Spears, koleksi edisi terhad yang menjadi sebahagian daripada Balenciaga ‘Exactitudes’ oleh pengarah kreatif Balenciaga, Demna.
Tampaknya pengaruh Britney Spears dalam budaya pop masih utuh biar pun sudah tidak berapa aktif di persada muzik global. Bintang pop yang memulakan kariernya di penghujung tahun 1990-an menjadi pilihan Balenciaga untuk satu kolaborasi istimewa (juga mengejutkan bagi saya) dalam meraikan ikon pop itu.
Siri Balenciaga Music | Britney Spears adalah satu siri edisi terhad yang menyajikan helaian sedia pakai serta aksesori. Menghangatkan lagi pelancaran koleksi ini, playlist eksklusif dilancarkan termasuk dua lagu adunan semula (remix) oleh pemuzik dan penerbit kelahiran Perancis, BFRND.
Antara item yang menangkap mata ialah baju-T dengan cetakan wajah pelantun ‘Hit Me Baby One More Time’ yang dirakamkan oleh Rankin dan Steven Klein. Turut ada dalam koleksi ini ialah baju berhud.
“Saya memang sukakan fesyen dan ini adalah satu penghormatan. Saya teruja apabila Demna dan Balenciaga memilih saya untuk kolaborasi ini. Saya harap para peminat saya sukakan koleksi ini. Imej atau foto yang digunakan adalah antara kesukaan saya, imej sewaktu saya di puncak karier dan kehidupan,” kata Britney.
Playlist yang mengandungi lagu-lagu pilihan Britney turut dilancarkan di laman sesawang Balenciaga, yang mana playlist ini boleh saja didengari di pelbagai platform muzik seperti Apple Music dan Spotify. Turut dilancarkan ialah extended play (EP) Britney4ever oleh BFRND termasuk dua lagu hitnya ‘Gimme More’ dan ‘Oops!… I Did It Again’.
Koleksi ini sudah mula dijual di butik Balenciaga terpilih serta secara dalam talian di pautan INI!
BACA: Gaya Selebriti Paling Menyerlah di American Music Awards 2025