Teks : Khairul Abidin
Pencinta beg tangan pastinya tidak mahu melepaskan memiliki beg eksklusif ilham pereka dari New York ini, andai terlambat anda gigit jari.
Mac lalu, pereka fesyen antarabangsa ternama yang berpangkalan di New York, Jason Wu singgah ke Kuala Lumpur dan persinggahannya itu membawa khabar gembira yang mana dia mengumumkan jalinan kolaborasinya bersama Sometime by Asian Designer. Kini setelah hampir tiga bulan menunggu, beg ilham Jason Wu yang dinamakan sebagai ‘Edie’ boleh dibeli bermula pada 4 Jun 2018 di laman Zalora.
‘Edie’ juga mencatat sejarah tersendiri pabila beg tote ini menjadi debut kerjasama antarabangsa di antara Zalora dan Sometime by Asian Designers yang mana beg tote ini bakal dipasarkan menerusi atas talian di Malaysia, Singapura, Indonesia, Taiwan, Hong Kong serta Filipina. Beg tote ini hadir dalam variasi enam warna iaitu Slipper, Soft Pink, Creme, Orange, Mustard, dan juga sebuah warna istimewa Ultramarine yang hanya boleh didapati di Taiwan sebagai satu penghormatan juga keistimewaan buat tanah kelahiran Jason Wu.
“Saya bersetuju dengan projek ini pada banyak tahap. Saya suka kerjasama, dan saya telah banyak menjalin kolaborasi sepanjang kerjaya saya. Inspirasi untuk tote Edie berasal dari rasa cinta saya kepada seni bina abad pertengahan, “katanya sewaktu kunjungannya lalu.
Beg tote ‘Edie’ boleh dimiliki pada harga RM570 bagi saiz besar dan RM428 untuk versi mini.