Oleh: Mujahid Saddam
Syawal bakal menjelma dalam masa beberapa hari saja lagi. Bagaimana dengan persiapan raya anda? Sudah lengkapkah semuanya? Kepada mereka yang masih tercari-cari busana untuk digayakan di Aidilfitri nanti, EH! menghimpunkan koleksi busana Aidilfitri barisan pereka tempatan yang tampil dengan pelbagai rekaan bagi memberi inspirasi dan mewarnai lagi pagi raya anda nanti.
1. Koleksi Syawal Hatta Dolmat for Tesco
Gambar: Tesco
Koleksi baju kurung oleh Hatta Dolmat ini diberi sentuhan moden melalui cetakan bertemakan floral. Selain itu, ia juga tampil dengan pelbagai rona warna serta menggunakan teknik sulaman jahitan tangan yang halus. Kesemua 19 rekaan eksklusif ini boleh didapati di cawangan Tesco.
2. Rico Rinaldi Summer Raya
Gambar: Rico Rinaldi
Untuk anda yang berani, Koleksi Summer Raya dari Rico Rinaldi ini pasti membuatkan anda tampak bergaya di pagi lebaran nanti. Baju kurung Kedah dan moden diberi nafas baru dengan potongan unik serta tambahan cape dan juga lace yang pasti membuatkan anda tampil lain dari kebiasaan di hari raya nanti.
3. Jovian Mandagie for Zalora
Gambar: Zalora
Himpunan koleksi Jovian Mandagie for Zalora ini mengetengahkan ciri-ciri feminin dalam rekaanya. Baju kurung serta dress diberi suntikan moden dengan penelitian terhadap perincian. Sesuai untuk anda yang mahu tampil elegan.
4. Rizman Ruzaini Highness Eidulfitr
Gambar: Rizman Ruzaini
Diinspirasikan dari era Byzantine dan Baroque, koleksi raya dari Rizman Ruzaini ini tampak mewah dengan permainan warna dan pengunaan fabrik serta perincian lace dan frame yang meyuntikkan lagi gaya mewah klasik kepada si pemakai.
5. Rizalman for Zalora
Gambar: Zalora
Moden, minimal, dan elegan merupakan gambaran tepat bagi koleksi Rizalman for Zalora ini. Sesuai untuk anda yang mendambakan imej sopan tetapi masih mahu stand out from the crowd, koleksi ini mengetengahkan elemen moden terhadap baju tradisional seperti baju kurung dan kaftan.
6. Mimpi Kita The New Lebaran: Ready to Wear
Gambar: Mimpi Kita
Mimpi Kita menampilkan kelainan terhadap koleksi raya mereka pabila melancarkan koleksi ready to wear. Pelbagai jenis atau bentuk helaian boleh didapati di koleksi ini. Ia bukan sahaja dapat dipakai semasa hari raya, tetapi juga boleh disuaipadan untuk acara lain.
7. Alia Bastamam
Gambar: ALia Bastamam
Warna pastel dan juga rona terang membangkitkan lagi mood seksi dalam koleksi raya Alia Bastamam kali ini. Pelbagai pilihan dari baju kurung kedah dan moden, sehinggalah ke shirt dress dan kimono robe, rekaan koleksi ini menonjolkan lagi sisi lembut dan elegan seorang wanita.
8. Nurita Harith
Nurita Harith menampilkan dua koleksi raya pada tahun ini iaitu Nurita Harith Luxe Raya dan NH by Nurita Harith Ready to Wear yang merupakan kolaborasi bersama Fashion Valet.
Gambar: Nurita Harith
Mengetengahkan rona nude gelap, potongan koleksi Luxe Raya ini lebih kepada moden dan elegan dengan gabungan motif cetakan serta French lace yang hasil perinciannya lebih halus dan kemas.
Gambar: Nurita Harith
Bagi koleksi ready-to-wear ini pula, potongan yang diilhamkan lebih moden dan kasual. Motif cetakan yang terdapat pada koleksi ini lebih segar manakala pilihan warna pula terdapat dalam rona pastel seperti icy blue dan kuning muda. Koleksi ini juga boleh disuaipadan ke pelbagai acara.
9. Zery Zamry
Pereka ini juga menampilkan dua koleksi raya pada tahun ini iaitu Pastel Raya dan Classic Glam Raya yang menonjolkan perbezaan pada rona warna.
Gambar: Zery Zamry
Koleksi Pastel Raya menampilkan himpunan ready to wear yang berilhamkan potongan ringkas pada baju kurung, kebaya, top blaus serta skirt yang boleh disuaipadan. Pemilihan warna lembut seperti soft pink dan lilac menyerlahkan lagi ciri feminin si pemakai.
Gambar: Zery Zamry
Koleksi Classic Glam Raya ini pula menampilkan potongan moden serta helaian potongan klasik. Tampil dalam rona warna hitam dan nude, koleksi ini mampu membuatkan anda tampil elegan.
10. Tsyahmi EID
Gambar: Tsyahmi
Bagi anda yang sukakan potongan minimalis dan klasik, koleksi raya Tsyahmi ini pasti memikat hati. Tampil dalam rona warna neutral serta permainan manipulasi fabrik, koleksi ini menjanjikan keselesaan kepada si pemakai selain boleh disuaipadan untuk berlainan acara.
11. Eid by Silas Liew
Gambar: Silas Liew
Koleksi debut raya dari pereka Silas Liew ini menampilkan ciri moden yang penuh dengan motif cetakan serta warna. Kepada anda yang sukakan ciri bohemian atau corak seperti geometri, koleksi ini pasti mampu memenuhi selera anda.
12. Paradiso by Dynda
Gambar: Dynda
Berkonsepkan resort wear mewah, koleksi ini lebih menumpukan terhadap motif serta cetakan fabrik. Dihasilkan melalui fabrik berunsurkan lightweight, ia menjamin keselesaan kepada anda yang sibuk menyediakan juadah di pagi raya nanti.
14. Syomir Izwa for Zalora
Gambar: Zalora
Diperbuat dari fabrik buluh kapas, koleksi Syomir Izwa untuk Zalora ini dijamin keselesaanya terhadap si pemakai. Berinspirasikan art deco dari tahun 1920 dan 1930, eleman geometri diterapkan kepada perincian terhadap koleksi raya ini.
15. Innai Red
Gambar: Innai Red
Mempertahankan elemen klasik kurung, Innai Red membawa kembali fesyen klasik zaman dahulu dengan ciri kain lipat susun, cetakan crepe serta pengunaan fabrik organza jacquard yang pasti membuatkan si pemakai kelihatan seperti Saloma! Manakala teknik sulam tampal batu jemeki pula menjadi perincian bagi koleksi raya Innai Red tahun ini.
16. Adila Long Majestic Lebaran
Gambar: Adila Long
Anda yang gemarkan imej glamor dan minimalis, koleksi ini pasti membangkitkan keterujaan di hati. Helaian yang boleh disuaipadan ini menampilkan rona pastel, emas serta fuchsia dan mengabungkan fabrik berlainan seperti sutera Thai dan sutera crepe.
Koleksi busana dari pereka tempatan ini sudah tentu memberi inspirasi dan membuat anda rambang mata memilih yang manakah patut digayakan hari raya nanti. Segeralah melengkapkan persiapan raya anda dengan berkunjung ke butik atau laman sesawang yang menjual koleksi ini.