Meraikan ketibaan musim panas dan kita di Malaysia pula akan menyambut ketibaan Aidilfitri. Walaupun mungkin cara kita menyambut lebaran tahun ini agak sedikit berbeza dari kebiasaan tapi saya percaya kita masih mahu memastikan ia diraikan dengan meriah dan kita masih mahu tampil berias.
Swarovski tahun ini menyajikan himpunan berinspirasikan elemen tropika pada koleksi musim panasnya. Musim yang lazimnya dikaitkan dengan kebebasan, rona terang, eksotika dan bertenaga ini diserap masuk pada himpunan ini. Dan tidak sah andai tidak mengaitkan Swarovski dengan elemen glamorous.
Musim ini Swrovski mengajak anda bergaya sedikit bold, sajak sekali jika anda mahu bergaya sedikit bold hari raya ini.
Himpunan yang menceduk ilham tropika ini banyak bermain warna, bagaikan meluncur di atas tujuh warna pelangi yang muncul di celah pohon-pohon. Warna hijau terang misalnya diasmarakan dengan merah jambu, kilauan kristal dicantum mesra paduan bersepuh ton emas atau perak.
Pilihan anting-anting dengan bentuk daun misalnya menyuntik elemen fun and chic. Melihatkan rekaan itu ada sebahagian cantik dipakai satu saja, namun tak salah jika mahu berlebih gaya dengan memadankan bersama cincin koktel berbatu besar. Bagi anda yang senang menyarung baju kurung kain kapas polos misalnya, boleh glamorkan penampilan dengan menggayakan rantai berlapis-lapis sebagai satu statement gaya.
Himpunan ini akan mula dipasarkan pada bulan Mei, dan boleh didapati secara atas talian di Zalora.