Bvlgari Serpenti masih tampil dengan gancu kepala ular tapi hadir dengan material yang lebih segar dan moden, gaya tas tangan nan lebih chic lagi sofistikated untuk lebaran ini.
Bvlgari menyuntik nafas baharu kepada tas tangan ikoniknya, Serpenti. Bagai menebarkan udara baharu, Bvlgari menghidupkan nadi beg tangan gilaan ramai ini menerusi himpunan musim luruh 2021 dengan penampilan yang lebih chic.
Menurut Bvlgari, tas tangan Serpenti dalam material baharu ini ditujukan buat kelompok wanita kota yang mahu mecambahkan warna pada sisi kehidupan mereka, yang tahu menghargai kelainan dan pembaharuan.
Dan bagi saya pula, melihatkan gaya beg ini yang tampil dalam gaya yang lebih santai dan chic, ia cukup sajak dipadankan dengan busana tradisional pada hari raya Aidilfitri nanti. Tambahan pula warnanya tampil dalam ton nude, jadi lebih mudah disuai padan dengan apa sahaja gaya danw arna helaian raya anda nanti.
Bermula dengan pengenalan Bvlgari Snake, tas tangan itu mencetus fenomena dan menjadi buruan penggemar fesyen lantas membuahkan idea buat Bvlgari untuk menampilkan Serpenti dalam wajah baharu dalam rendisi yang lebih segar. Maka terlahirlah Serpenti yang menggunakan kulit dalam bentuk tali rafia dan digabung penuh eksklusif. Gaya tas tangan ini tampil dalam dua pilihan yakni gaya ikonik Bvlgari dan Serpenti Diamond Blast.
Pemegang beg dan tali tas tangan ini boleh diceraikan dan digayakan mengikut keselesaan. Tali beg diperbuat menggunakan rantai warna emas dan ada juga yang dibuat menggunakan rantai yang lebih halus. Kemasan rambu pada garis cantuman beg pula membuat ‘wajah’ beg ini lebih unik dan tersendiri.
Baca Juga Artikel Ini: B.zero1 Rock, Elemen Ranggi Dalam DNA Bvlgari
Kemewahan beg tangan ini tentunya jelas terpancar pada gabungan penggunaan material kulit berkualiti tinggi dijalin mesra dengan inspirasi daripada perhiasan mewah. Pemilihan material kulit dilakukan berhati-hati demi mendapatkan motif baharu yang lebih menyerlah. Secara jelasnya apa yang boleh disimpulkan tentang suntikan baharu beg tangan ini ialah ia sebuah ilham aksesori nan sofistikated beradun dengan gaya moden lagi mewah.