EH! terbang ke Bangkok untuk sama-sama meraikan jam tangan ikonik CASIO Vintage yang kini menjadi kegilaan muda-muda generasi-Z. Ia bukan sekadar jam tangan biasa, ia adalah simbol sebuah permulaan teknologi baharu suatu ketika dahulu dan statement gaya yang merentasi era.
Kunjungan saya ke Bangkok bersama Casio bulan lalu membuatkan saya sedar, kalau mahu ke Bangkok eloklah pergi sekitar bulan November. Suhunya dingin secukup rasa, memang terasa nyaman bila berjalan-jalan keliling kota.
Saya ke Bangkok kerana menghadiri acara CASIO Vintage ‘Back In Time, AHead In Style’, satu acara meraikan jam tangan ikonik Casio yang punya catatan sejarahnya yang tersendiri. ‘Back In Time, Ahead In Style’ meraikan jam tangan digital CASIO dari era 70-an dan 80-an yang kini kembali menjadi kegilaan generasi baru sekaligus menjadikan jam tangan ini sebagai salah satu ikon fesyen vintaj. Rekaan yang suatu ketika dahulu mendahului era kini menjadi simbol gaya yang digemari generasi-Z.
Acara ini membuktikan bahawa trend boleh berubah, tetapi gaya yang autentik tidak pernah lapuk. CASIO VINTAGE bukan sekadar jam tangan, ia adalah cerita, memori dan statement gaya bagi mereka yang menghargai nilai, sejarah dan rekaan ikonik.
Daripada pencinta vintaj baharu hinggalah pengumpul berpengalaman, acara ini menarik mereka yang menyukai estetika vintaj, budaya retro dan ketukangan berkualiti — nilai dan ciri yang telah menjadikan CASIO relevan merentas generasi.
AKTIVITI & BINAAN SET MENARIK
Bertempat di The Warehouse Talat Noi, Bangkok, sebuah kawasan kejiranan yang kaya dengan sejarah (wujud sejak 1700) kini menjadi salah satu hab kreatif tersohor di Bangkok. Sehari sebelum Casio membuka ruang ini kepada umum, komuniti fesyen dan media serantau datang berhimpun untuk meraikan malam pembukaan.
Antara individu terkenal yang hadir ke acara ini ialah bintang Thai sendiri, Jiratchapong Srisang atau lebih dikenali sebagai Force. Yaya Zahir, Eros, Nichole Chen, Airil Ezuan dan Nina Hasnul antara pempengaruh yang diterbangkan dari Kuala Lumpur ke acara ini.
Selama tiga hari, kawasan bersejarah Talat Noi berubah menjadi ruang nostalgia yang meraikan perjalanan CASIO merentas masa, membuktikan bahawa walaupun trend sentiasa berubah, gaya sebenar tetap kekal. Acara ini menampilkan dua zon utama yang membawa pengunjung menyusuri lima dekad inovasi CASIO.
Casio membina Vintage Arcade yang dimeriahkan dengan pasar retro, set DJ, instalasi Instagrammable dan pameran jam tangan CASIO klasik. Saya tertarik dengan ruang mini yang datang dengan tema pelbagai era. Bila melihat prop dan dekorasi setiap ruang, ia betul-betul menggamit memori zaman saya membesar.
Antara koleksi yang dipamerkan termasuk model ikonik A158WA-1A sebagai tumpuan utama, disokong oleh A230, pilihan Future Classic terkurasi, serta kegemaran ramai seperti Casio Ring Watch dan AQ240. Acara ini turut memperkenalkan kolaborasi terbaharu bersama Stranger Things, Back to the Future dan banyak lagi.
Gabungan koleksi ini menyerlahkan identiti CASIO sebagai jenama jam tangan berwarisan yang yakin meraikan masa lalu sambil terus bergerak ke hadapan bersama kolaborasi segar yang dekat dengan generasi masa hadapan.
Lihat koleksi CASIO Vintage terkini di pautan INI.















