Dari gaya harian ke cerita peminat, Yaya Zahir, pengasas jenama fesyen lokal ASLY, berkongsi sisi peribadi di sebalik stailnya yang ikonik.
Baru-baru ini, kami menjelajah ke universiti-universiti terpilih menerusi EH!Xperience Truck x Kérastase. Selama dua hari, jenama fesyen lokal terkenal, ASLY turut serta sebagai salah satu kolaborasi eksklusif. Jadi, saya ambil peluang ini untuk berbual santai dengan pengasasnya, Yaya Zahir – tentang fesyen, gaya peribadi dan sedikit kisah di sebalik ASLY.
Bila bercakap soal gaya, Yaya Zahir bukan nama asing. Personalitinya yang ceria, penuh keyakinan dan sentiasa tampil ‘on point’ menjadikan setiap penampilannya dinanti. Dalam ceritera gaya kali ini, Yaya kongsi sisi peribadi di sebalik pilihan outfit, peraturan fesyen yang sengaja dilanggar, dan momen istimewa bersama peminat ASLY yang menyentuh hati.
Apakah warna pilihan Yaya apabila buntu?
Susah juga nak pilih satu warna sahaja, sebab bagi saya, ia sangat bergantung pada situasi dan mood ketika itu. Setiap warna membawa vibe yang berbeza, jadi sukar untuk beri jawapan yang tepat.
Contohnya, bila saya rasa murung atau tidak bersemangat, saya cenderung untuk memakai warna hitam. Tapi bila saya dalam mood yang ceria dan bersemangat, saya suka memakai warna-warna yang terang dan menyerlah.
Sebab itu juga dalam koleksi ASLY, kebanyakan rekaan kami datang dalam pelbagai pilihan warna. Kami memang suka bereksperimen dengan warna, dan kalau pelanggan kami mencari sesuatu yang menyeronokkan untuk ditambah dalam almari mereka, kami harap mereka akan teringat kepada jenama kami.
Helaian daripada koleksi ASLY yang akan Yaya pakai jika hendak ke kelas?
Kalau Yaya nak pergi kelas ASLY x Machino punya kardigan. Sebab it’s giving like a smart girl.
Apakah satu peraturan fesyen yang Yaya suka langgar?
Yaya jarang suka langgar peraturan. Kadang-kadang suka cuba benda baru, tapi bukan sampai langgar peraturan.
Outfit mana buat Yaya rasa paling yakin?
Outfit mana-mana pun sebenarnya. Bagi saya, asalkan dalaman kita yakin, apa sahaja yang kita pakai akan rasa meyakinkan juga. Sebab apa yang kita pakai itu sebenarnya mencerminkan dan mengekspresikan diri kita.
Jadi, keyakinan sebenar datang daripada dalam, bukan semata-mata daripada pakaian. Sebab apa yang awak pakai itu mengekspresikan keyakinan dalam anda.
Jika Yaya hanya boleh pakai satu koleksi ASLY selama sebulan, mana akan Yaya pilih?
Saya mungkin akan pilih koleksi ASLY Aura. Sebab dalam koleksi tu ada pelbagai pilihan seperti jeans, t-shirt, dan jersey, jadi masih ada variasi walaupun dalam satu koleksi. Ia fleksibel dan sesuai untuk pelbagai gaya dan suasana, jadi memang praktikal kalau nak pakai sepanjang sebulan.
Adakah satu rekaan dalam koleksi ASLY yang mempunyai kisah istimewa di sebaliknya?
Yaya rasa setiap koleksi ASLY ada kisahnya yang tersendiri. Tapi kalau nak pilih satu yang paling istimewa, bagi saya ia adalah kolaborasi ASLY X Machino.
Sebab dalam projek ini, saya berpeluang bekerjasama secara langsung dengan jenama Machino, dan yang paling menyeronokkan, kedua-dua pihak benar-benar terlibat dalam proses rekaan. Apa yang anda lihat dalam koleksi itu adalah hasil gabungan idea dan identiti daripada kedua-dua jenama. Bagi saya, itu yang menjadikannya begitu istimewa dan setakat ini, ia adalah antara yang terbaik.
Jika mood Yaya hari ini adalah satu outfit, bagaimana rupanya?
Inilah (gambar) yang saya rasa! Sebenarnya, saya ingin tampil seperti seorang pelajar, praktikal dan selesa. Cuaca pun panas, jadi bila perlu bergerak dari satu kelas ke kelas lain, saya pilih untuk pakai t-shirt yang bersaiz besar. Ia nampak cantik dan selesa untuk berjalan-jalan di sekitar universiti.
Untuk tampak lebih yakin, saya akan padankan dengan seluar panjang yang ada bercorak seperti yang anda boleh lihat dan kasut sneakers. Sebab sebagai pelajar, kita banyak berjalan ke sana sini, jadi keselesaan itu sangat penting sambil tetap nampak bergaya.
Jika ASLY ada satu signature look, bagaimana Yaya akan gambarkannya?
Berdasarkan apa yang saya lihat daripada peminat ASLY di Instagram dan media sosial, saya bayangkan signature look ASLY akan merangkumi baju oversized dan seluar panjang yang ada cetakan atau tulisan.
Itulah gaya yang sering ditampilkan oleh peminat kami, dan secara peribadi, saya rasa itu juga mencerminkan gaya saya — santai, bergaya, dan berani mengekspresikan diri.
Apakah satu tip gaya yang Yaya selalu amalkan?
Satu tip gaya yang saya selalu amalkan adalah, berseronok! Jangan terlalu overthinking. Nikmati apa yang anda pakai dan rasa selesa dengan diri sendiri. Bila kita terlalu memikirkan tentang penampilan, bukan sahaja pakaian jadi rumit, tapi kita pun hilang keseronokan dalam bergaya. Jadi, paling penting, enjoy!
Baca: SHALS Yang Minimalis Namun Versatil, Ini Top 5 Pilihan EH!