Kaarthini, satu nama yang membawa nafas baharu dalam dunia kandungan digital, fesyen, dan kecantikan dengan penuh kreativiti. Keunikan dirinya menjadikan dia bukan sekadar pencipta kandungan biasa, tetapi seorang ikon yang memancarkan keaslian dan inspirasi. Setiap karya yang dihasilkan bukan sahaja mencerminkan kreativiti tanpa batas, malah menyuntik semangat segar kepada dunia fesyen dan kecantikan masa kini.
Wajah segar dalam dunia kandungan digital dan peragaan, Kaarthini kini mencuri perhatian industri dengan pesona dan keaslian yang sukar ditandingi. Berusia 28 tahun, Kaarthini mula melangkah ke dunia ini kira-kira empat tahun lalu, ketika dunia sedang berdepan dengan pandemik. Namun dari kekangan itulah lahirnya kreativiti dan sejak detik pertama, dunia kandungan digital seolah-olah menjadi pentas semula jadinya. Hari ini, namanya bukan sahaja dikenali di media sosial, malah pernah menghiasi muka depan Sephora satu pencapaian yang berbicara sendiri tentang kehadirannya yang kuat dalam landskap fesyen dan kecantikan.
Saya masih terbayang saat pertama kali melihat Kaarthini di sebuah acara, tampil anggun dalam saree membawa elemen tradisional ke dalam ruang moden dengan begitu yakin dan bergaya. Ada sesuatu tentang caranya membawa diri yang memikat, sesuatu yang membuatkan saya ingin mengenalinya lebih jauh.
Dan ketika saya membuka profil Instagram miliknya, ia benar-benar menarik. Setiap helaian kandungannya sarat dengan kreativiti, keaslian, dan jiwa. Dia bukan sekadar content creator, dia mencipta pengalaman visual yang menyentuh rasa.
Bagaimana anda menggambarkan gaya peribadi anda?
Kasual berwarna-warni. Saya mula mencuba lebih banyak warna dalam pakaian harian saya dan ia sangat menyeronokkan! Pakaian saya agak ringkas dan saya sangat minimalis dengan aksesori, tetapi saya rasa warna menaikkan gaya.
Siapakah ikon fesyen anda, dan apa yang anda kagumi tentang gaya mereka?
Empat wanita dalam “Sex and The City” (Carrie, Samantha, Miranda & Charlotte)! Setiap seorang ada gaya yang berbeza, tetapi semuanya tetap bergaya. Saya akan pilih dan tentukan siapa yang saya nak jadi untuk hari tersebut!

Pernahkah anda bergelut dengan imej diri atau keyakinan dalam perjalanan gaya anda?
Ya, pernah! Malangnya saya rasa itu macam satu “canon event’” untuk semua gadis yang sedang membesar. Dahulu saya berpakaian untuk menarik perhatian orang lain, semata-mata nak “fit in” dengan golongan popular, tapi kemudian saya sedar ia sebenarnya tidak menyerlah dan buat saya rasa tidak gembira.
Ambil masa yang lama untuk saya menghargai tubuh dan imej sendiri, tapi bila ia berlaku, segalanya berubah dalam sekelip mata. Saya benar-benar sukakan gaya saya untuk diri saya sendiri.
Satu trend yang anda rasa terlebih diberi perhatian, dan satu lagi yang patut diberi lebih perhatian?
Sejujurnya saya tak rasa ada trend yang terlebih diberi perhatian. Sesuatu jadi trend sebab ramai orang cuba dan ikutinya. Fesyen sangat subjektif dan anda hanya akan tahu ia sesuai atau tidak bila anda cuba! Jadi teruskan sahaja haha.
Satu trend yang patut diberi lebih perhatian ialah outfit mengikut roda warna. Contohnya coklat dan biru aqua sangat serasi bersama. Daripada hanya kekal dengan satu warna dalam pakaian, kita boleh gabungkan dua! Contohnya baju hijau dan seluar merah.
Tiga item fesyen yang anda tak boleh hidup tanpanya
Stokin warna-warni saya! Beg tangan hasil thrift dan cincin dari Wanderlust & Co yang ada gambar anjing kesayangan saya yang telah tiada. Saya pakai cincin itu setiap hari ke mana saja, seolah-olah saya membawa dia bersama walaupun dia tiada lagi di dunia ini.

Jika anda boleh berkolaborasi dengan mana-mana jenama fesyen, jenama apa dan kenapa?
Mirror Palais, sudah tentu! Segala-galanya tentang jenama ini dan gayanya buat saya rasa nak tinggalkan segalanya dan hidup sebagai puteri di sebuah pulau.
Gaun dan gaya mereka dicipta untuk pandangan wanita. Ia memikat dengan cara yang menggambarkan pertemuan antara keayuan dan girlhood, saya sangat menyukainya.
Satu perkara tentang anda yang orang tak sangka berdasarkan kehadiran anda di media sosial?
Saya sebenarnya sangat suka duduk di rumah! Saya tahu di media sosial nampak saya selalu hadir ke acara dan melancong, tapi dalam hati saya selalu teringat nak balik rumah dan berehat haha.

Nasihat kepada seseorang yang ingin membentuk gaya mereka sendiri?
Jangan takut untuk mencuba! Ambil masa untuk fahami dan hargai kisah serta budaya di sebalik setiap gaya terlebih dahulu, kemudian barulah cuba.
Gaya itu subjektif dan anda tak perlu pakai jenama mewah untuk kelihatan bergaya! Mula dengan thrifting dan guna Pinterest untuk luaskan pandangan anda.
Satu kata-kata yang anda pegang tentang fesyen
“Fesyen itu seperti makanan, anda tidak sepatutnya kekal dengan menu yang sama” – Kenzo Takada