Jika dinilai pada graf kes Covid-19 di negara kita yang tampaknya agak stabil kebelakangan ini, tambah pula dengan kes sembuh yang berterusan meningkat, masih ada sinar untuk kita kembali menyambut Aidilfitri seperti selalu. Namun itu semua masih bergantung kepada disiplin kita mematuhi perintah kawalan pergerakan yang sudah dilaksanakan lebih kurang 17 hari.
Walaupun peluang kita meraikan Aidilfitri tahun ini masih samar-samar namun label fesyen kita mahu terus positif dan mereka siap sedia dengan himpunan raya. Farah Khan antara label fesyen yang mahu menyemarakan kemeriahan Aidilfitri tahun ini, dan bulan lalu menyaksikan pengumuman kolaborasi pertama mereka dengan gedung fesyen atas talian, Zalora.
FK by Farah Khan yang mula dijual di Zalora sejak Mac menyajikan himpunan berinspirasikan keindahan Marrakech. Pasukan kreatif di Farah Khan menterjemahkan gaya sopan (modesty) mesra diadun dengan seni fesyen moden hari ini. Keindahan serta keunikan Jardin Majorelle dan Médersa Ben Youssef diterjemahkan pada ilham kaftan, kebaya dan kurung dalam himpunan ini. Koleksi ini juga dilengkapi dengan helaian untuk kanak-kanak perempuan.