TAG Heuer menghidupkan kembali memori kolaborasinya bersama Formula 1 menerusi pameran eksklusif “Designed to Win” yang berlangsung di The Exchange TRX Ogos lalu.
“Designed to Win”, sebuah pameran yang dianggap sebagai satu penghormatan kepada jenama jam tangan unggul, TAG Heuer dalam penglibatannya dalam sukan permotoran antarabangsa yang sudah memasuki enam dekad. Ruang imersif ini turut menyerlahkan kerjasama berterusan jenama tersebut bersama Formula 1, mencerminkan komitmen mendalam terhadap prestasi dan inovasi pembuatan jam tangan.
Selain pelancaran kempen, pengunjung berpeluang menyaksikan secara dekat sebuah kereta lumba Formula 1 sebenar yang dipamerkan sepanjang tempoh pameran. Nadi utama ini melambangkan sinergi antara dunia perlumbaan dan seni kepakaran masa berprestasi tinggi.
Turut dipamerkan ialah koleksi warisan daripada Muzium TAG Heuer, menyingkap evolusi reka bentuk dan teknologi sepanjang dekad. Dari rekaan vintaj klasik hinggalah ikon moden, setiap jam tangan membawa naratif tersendiri tentang kelajuan, ketepatan, dan gaya.
Antara karya ikonik termasuk Heuer Master Time atau dikenali sebagai Rallye Master dari era 1960-an, Heuer Chronograph Autavia dan Carrera dari tahun 1969, serta jam tangan Formula 1 pertama TAG Heuer, generasi sulung yang dilancarkan pada 1986.
“Pameran ini memberi penghormatan kepada warisan gemilang kami, sambil menjadi satu pernyataan berani tentang masa depan,” ujar Brice Tchaplyguine, Pengarah Urusan TAG Heuer Asia Tenggara, Korea dan Pasifik. “Kuala Lumpur, dengan pengaruhnya yang semakin berkembang dalam budaya mewah dan sukan permotoran, adalah satu indikator sempurna untuk melancarkan ‘Designed to Win’ dan berkongsi semangat kami bersama peminat di Malaysia dan serata dunia.”
Sama ada anda seorang pengumpul berpengalaman, pencinta sukan permotoran, atau baharu dalam dunia pembuatan jam tangan Swiss, TAG Heuer Formula 1 Exhibition menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan di persimpangan adrenalin dan elegan.
Ahli parlimen, Yang Berhormat Syed Saddiq dan Bella Astilah antara personaliti yang hadir memeriahkan malam pembukaan yang turut diserikan oleh hos acara tersebut, Amelia Henderson.