Sempena pertunjukan fesyennya di Seoul, Korea baru-baru ini, Dior menghidupkannya dengan elemen papan luncur, dari situ ia dikembangkan dengan pelancaran siri video eksklusif ini.
Rumah fesyen Paris, Dior melangsungkan pertunjukan himpunan musim luruhnya di Seoul baru-baru ini. Apa yang menariknya tentang persembahan fesyen ini, ia dilangsungkan di Ewha Women’s University dan Dior merubah ruang acara dengan membina taman luncur (skatepark).
Acara pertunjukan himpunan ilham pengarah kreatif, Maria Grazia Chiuri ini dibuka dengan persembahan luncur papan oleh 10 pemain papan luncur handal Korea, sekaligus menyempurnakan mesej yang dibawa Maria, soal komuniti dan hubungan sesama wanita atau lebih mudah disebut sebagai sisterhood.
Tidak hanya diundang sebagai pembuka, Dior memanjangkan kerjasama ini dengan menghasilkan siri video yang memaparkan tiga peluncur tersohor Korea iaitu Minji Gwak, Siye Ha dan Viju Kim yang mana siri video ini menyaksikan perkongsian mereka bertiga tentang minat dan cinta mereka kepada sukan papan luncur serta berbicara tentang soal stail dan fesyen.
“Fun, joy and dream,” itu tiga perkataan yang menggambarkan perasaan Minji Gwak tentang sukan papan luncur. Menurut Minji cintanya kepada sukan ini ketika dia berada di darjah enam dan dia merayu kepada ibu dan ayahnya untuk membelikannya papan luncur. Dari segi gaya pula, menurut Minji dia senang menyarung baju-t dan seluar longgar tiap kali bermain papan luncur. “Cabarannya adalah apabila saya mahu menguasai satu-satu teknik atau skil, tidak mudah. Tapi bila saya Berjaya kuasainya itulah momen paling menggembirakan,” ujarnya.