Tiupan angin Dioriviera menderu-menderu menghembus semangatnya ke Pavilion KL. Pop-up eksklusif lagi mega ini sudah bermula awal Jun dan dijadulkan berakhir pada 21 Julai ini.
Dari deruan angin dan bunyi-bunyi pukulan ombak pada tahun lalu, kini Dioriviera membawa kehangatannya ke tengah kota. Simbahan warna jingga menyelubungi hampir keseluruhan pintu masuk utama Pavilion KL, menjadikan Dioriviera tahun ini cukup ekstravaganza.
Tak mungkinlah jika anda ke Pavilion KL sejak awal Jun lalu tidak terpukau melihat kuasa dominasi Dioriviera di pusat beli-belah popular negara itu. Dioriviera seakan sudah menjadi himpunan wajib setiap pertengahan tahun. Diilhamkan oleh pengarah kreatif Dior sendiri, Maria Grazia Chiuri, Dioriviera tahun ini tampil lebih menyerlah dengan kepelbagaian warna yang menghiasi koleksi ini.
Tahun ini Maria Grazia mencambahkan idea Dioriviera dengan permainan dua cetakan yakni lakaran hutan dan juga keindahan sinaran mentari. Dan corak ini dapatlah kita lihat pada gaya exterior butik Dior di Pavilion yang mana motif Toile de Jouy Soleil dalam warna jingga membaluti keseluruhan dinding.
Arca haiwan yang diperkemas dengan tatahan cengkerang siput membuatkan sudut di dalam butik Dior dan dekorasi Dior Cafe tampak berbeza dan lebih eksotik. Tahun ini juga menyaksikan Dior melengkapkan binaan kafenya dengan ‘Bike Cafe’ yang mana ia bukan sekadar sudut bancuhan kopi biasa-biasa, malah dilengkapi dengan ruang tempat duduk di bahagian atas serta tempat duduk di bahagian depan dan belakang. Perfect untuk rakaman OOTD anda bila ke sini.
EH! Juga tak melepaskan peluang melangsungkan penggambaran istimewa di sini. Model ternama, Natalie Prabha menjadi peneman kala pasukan kerja editorial EH! Ke sini. Gaya dan aksinya dalam persalinan serba putih menjadi pelengkap rakaman editorial kami di sini. Dan apalah erti penampilan santai ini tanpa Dior Book Tote nan ikonik!
Bagi anda yang ingin merasai sendiri pengalaman Dioriviera, bersantai di Dior cafe sambil menghirup secangkir kopi atau menikmati kemanisan aiskrim dalam suasana santai lagi mewah. Pop-up ini dibuka setiap hari, dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Anda boleh membuat janji temu di pautan INI!
BACA: Dior Bawa Pengalaman Musim Panas French Rivera Ke Kuala Lumpur