Kempen fesyen ‘Director’s Cut’ diarahkan oleh pengarah yang pernah tercalon untuk Oscar, Luca Guadagnino dan dia telah menghasilkan satu lagi karya agung. Khusus pengenalan kepada koleksi musim bunga/panas 2021 Salvatore Ferragamo.
Susun atur dan pengisahan cereka dalam kempen musim ini merupakan idea Guadagnino bersama bekas Pengarah Kreatif Salvatore Ferragamo sendiri, Paul Andrew. Mereka berdua bergabung pendapat dan ilham bagi menghasilkan kempen Director’s Cut.
Mencedok ilham dari filem-filem ikonik Alfred Hitchcock, kempen ini menjalani rakaman di Milan, serta mencuit jiwa yang berkaitan dengan filem-filem Hollywood. Pemilihan tersebut merupakan simbolik kepada awal kegemilangan jenama Ferragamo, yang mana destinasi terawal jajahan Ferragamo ialah di Hollywood. Selepas Milan. Kempen ini mengiaskan fantasi dan nilai-nilai artistik sebagai inspirasinya.
Model yang ditampilkan eksklusif dalam kempen ini ialah Mariacarla Boscono, Maggie Cheng, Jonas Gloer, Samar Rahma dan Anok Yai. Kesemuanya disatukan dalam cereka yang mengundang mood suspen ringan, seakan jalan cerita misteri langsung memberi debaran untuk ketahui adegan seterusnya.
Sambil model-model beraksi, mata tertumpu pada suai padan aksesori serta rekaan baju sedia pakai ilham Ferragamo yang terbaharu. Tas monocolor VIVA menjadi ‘watak’ utama, dilengkapi sepatu F-wedge yang chic.
Manakala, model lelaki tampil menyerlah dalam sepatu Gancini dan rekaan sedia pakai seperti jaket utiliti yang menegapkan kefungsian dalam balutan warna lembut, putih dan kuning cair. Tas Trifolio dan Studio juga ditampilkan secara rancak melalui kempen ini, menyempurnakan gambaran Ferragamo untuk musim ini.
Artikel berkaitan: Inspirasi “King of Fruits”