Sekarang trend pakai baju raya lama mak? Sentuhan retro dan vintaj ini sedang tular di media sosial menghidupkan semula gaya klasik yang penuh kenangan dan keunikan.
Setiap kali Raya, tidak semestinya kita perlu mengeluarkan duit untuk membeli baju raya baru. Sebaliknya, baju raya lama pun masih boleh dipakai dan digayakan semula supaya nampak lebih moden dan lain daripada yang lain. Dengan sedikit kreativiti seperti padanan aksesori, cara gaya yang berbeza atau mix and match dengan item lain, baju lama pun boleh nampak seperti baru. Jadi, tidaklah kita perlu membazir atau membuang pakaian yang masih elok. Berikut merupakan beberapa idea yang boleh dijadikan inspirasi untuk menggayakan semula baju raya lama.
Memang agak mencabar sedikit untuk nampakkan baju lama jadi cantik dan ikut trend semasa. Namun, bukan bagi influencer seperti Zurnadia, di mana dia mencuba mempelbagaikan dan mengolah dengan memulakan “Kita Style-kan Apa Yang Ada Jurrrr” untuk edisi Raya 2026.
Salah satu daripada koleksi almari lama opah, Zurnadia tampil dengan mengenakan baju kurung berwarna jingga dan kain batik ungu, membuat edisi kali ini lebih menyerlah dan pop. Tudung yang dipilih juga merupakan tudung bawal plain jingga menampakkan lebih ceria dan meriah.
Sofea Shra, salah seorang ikon fesyen di kalangan gen-z, dilihat menggayakan baju kurung mengikut tahun bermula dari 1999 hingga 2014. Bermacam-macam warna dan rekaan dipadankan dengan penuh gaya, menjadikan baju-baju raya lama kelihatan lebih mewah serta menonjolkan sentuhan klasik yang elegan.
Bukan itu sahaja, Sofea Shra turut menggayakan setiap persalinan dengan selendang bahu yang dipilih mengikut kesesuaian warna dan potongan baju. Gaya ini bukan sahaja menyerlahkan keanggunan tradisional, malah membuktikan bahawa fesyen lama masih mampu tampil segar dan bergaya apabila dipadankan dengan kreativiti yang tepat. Trend ini sekali gus menginspirasikan ramai untuk menghidupkan semula koleksi baju raya lama sebagai gaya yang unik dan penuh nostalgia.
Syasya Rizal, bekas ahli kumpulan Dolla turut mengikuti trend ini dengan menggayakan baju kurung lama kena dengan lirik dalam lagu barunya yang baru dikeluarkan sempena menyambut Aidilfitri 2026 ini. Syasya mengenakan baju kebaya berwarna kuning, kontras dengan kain bercorak bunga, campuran warna merah jambu dan biru. Tudung merah ditambah menonjolkan lagi baju lama tersebut. Tidak lupa juga, selendang bahu yang hampir sama dengan warna kain.
Baca: “Tak Semestinya Yang Trending Itu Sesuai”- Sahir Sabri
