Zurnadia, seorang model berhijab dan pencipta kandungan fesyen, dikenali dengan strong face card serta perkongsian GRWM, tutorial dan idea outfit yang penuh keyakinan dan ekspresif.
Zurnadia merupakan seorang model berhijab, pencipta kandungan dan peminat fesyen yang berasal dari Ipoh. Dikenali dengan raut wajah yang kuat dan versatil (strong face card), dia menampilkan kehadiran yang menonjol di hadapan kamera, sekali gus membuktikan keupayaannya sebagai seorang model yang mampu membawa pelbagai karakter dan gaya. Perjalanannya bermula dengan berkongsi minat terhadap fesyen, gaya kreatif serta ekspresi diri di media sosial, sebelum mengambil langkah berani berpindah ke Kuala Lumpur untuk meneroka peluang yang lebih luas dan mengembangkan kerjayanya dalam industri kreatif.
Kandungan yang dikongsikan Zurnadia banyak berkisar tentang fesyen harian, GRWM (Get Ready With Me), tutorial solekan ringkas, idea padanan pakaian serta inspirasi outfit yang mudah digayakan. Pendekatannya yang santai tetapi tersusun menjadikan gaya fesyennya dekat dengan pengikut, sambil mengekalkan elemen statement yang tersendiri. Setiap penampilannya mencerminkan keberanian untuk bereksperimen, tanpa mengorbankan keselesaan dan identiti diri.
Apa yang paling menonjol tentang Zurnadia ialah cara beliau mengekspresikan minat terhadap fesyen dengan penuh keyakinan. Keyakinan itu terpancar secara semula jadi, bukan sekadar melalui pakaian, tetapi juga melalui cara beliau membawa diri. Ia menjadi satu contoh yang baik kepada mereka di luar sana yang masih ragu-ragu atau takut untuk mengekspresikan diri kerana pandangan orang lain. Melalui platform digitalnya, Zurnadia secara tidak langsung menyampaikan mesej bahawa fesyen adalah ruang untuk berekspresi, dan setiap individu berhak tampil yakin dengan gaya mereka sendiri.
Huraikan gaya peribadi anda
Gaya saya ringkas tetapi ekspresif, effortless, selesa dan tetap memberi statement. Pendek kata, simple tapi tak pernah membosankan.
Siapakah ikon gaya anda dan apa yang anda kagumi tentang fesyen mereka?
Saya ada ramai ikon gaya, tetapi Hailey Bieber sentiasa di tempat teratas. Pinterest saya penuh dengan gaya “model off-duty”. Untuk ikon berhijab pula, saya sangat mengagumi Ummi Nazeera—gaya fesyennya berani dan itu yang saya suka.
Pernahkah anda bergelut dengan imej diri atau keyakinan dalam perjalanan gaya anda?
Ya, memang pernah. Ia satu perjalanan yang panjang dan mencabar. Untuk sampai ke tahap sekarang, saya belajar untuk benar-benar menerima dan menyayangi kekurangan diri. Tak kira apa pandangan orang lain, yang penting kita tampil dengan yakin, berani mengekspresikan diri dan memberi inspirasi kepada orang lain.
Tiga item fesyen yang anda tidak boleh hidup tanpanya
Blazer yang chic, but yang selesa, dan beg ringkas yang mudah dipadankan dengan apa sahaja.
Satu trend yang anda rasa overrated, dan satu yang patut diberi lebih perhatian
Overrated: mengikut trend semata-mata untuk validasi.
Patut diberi perhatian: memakai sesuatu yang benar-benar mencerminkan diri sendiri.
Muzik atau playlist yang menggambarkan diri anda
Chill pop dan R&B, kadang-kadang lagu mellow atau lo-fi yang sedikit emosional, sekadar ikut vibe.
Satu perkara tentang diri anda yang orang tak jangka berdasarkan kehadiran online
Sebenarnya saya agak pendiam secara berdepan. Ada yang sangka saya sangat talkative seperti di media sosial, tapi realitinya tidak. Saya ambil masa untuk ‘warm up’, namun saya memang suka berkenalan dan berbual dengan orang baharu.
Minimalis atau maksimalis?
Minimalis, tetapi saya sangat menghargai gaya maksimalis pada orang lain.
Apa yang anda pakai bila malas di rumah?
T-shirt dan kain batik sahaja.
Berapa lama masa yang anda ambil untuk bersiap sebelum keluar?
Sekitar 30 hingga 40 minit.
Nasihat untuk mereka yang ingin bereksperimen dengan fesyen tetapi takut dinilai
Tak mengapa untuk bermula secara perlahan. Yang paling penting—mula sahaja. Penilaian orang lain adalah sesuatu yang kita tak boleh kawal dan ia memang akan ada. Jadi, biarkan sahaja. Apa pun yang berlaku, jangan berhenti melakukan apa yang anda cintai.







