Bagi pemilik nama Dalina Mustakim, dunia fesyen bukan sekadar pentas untuk mencipta pakaian yang indah, tetapi ruang luas untuk bercerita dan menghidupkan emosi melalui helaian busana.
Pereka fesyen muda, Nurul Dalina Binti Mustakin atau dikenali Dalina Mustakim yang berusia 24 tahun ini berasal dari Kuantan, Pahang, dan baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen (Kepujian) di Universiti Teknologi MARA (UiTM), selepas melengkapkan Diploma dalam Teknologi Tekstil di UiTM Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Dalina Mustakim hadir dengan visi yang mistik dan spiritual, mengetengahkan konsep dark avant-garde dengan sentuhan gothic dan bold. “Saya mahu rekaan saya bukan sekadar cantik di mata, tetapi mampu memberi kesan emosi yang mendalam. Saya gemar bereksperimen dengan tekstur, bermain dengan siluet dramatik dan bentuk yang tidak konvensional.”
Koleksi terbaharunya diinspirasikan daripada misteri dan spiritualiti Gunung Kinabalu.
Walaupun bukan berasal dari Sabah, Dalina mengakui kekuatan naratif budaya dan keagungan alam semula jadi itu begitu memikat hatinya.
“Gunung Kinabalu bukan hanya landskap semula jadi, ia menyimpan cerita, mitos dan roh budaya yang kaya.”
“Saya ingin mengangkat semua itu melalui pendekatan fesyen avant-garde dengan bentuk dramatik, struktur tidak biasa dan siluet yang memberi bayangan kepada keindahan dan aura mistiknya,” ujarnya penuh semangat.
Antara pencapaian yang paling membanggakan buat Dalina Mustakim adalah apabila terpilih untuk mempersembahkan koleksi penuh di Fashion Show UiTM 2025, ia satu pengiktirafan terhadap visi dan keunikan rekaan yang dibawanya.
Turut ditemu bual bersama, pensyarahnya, Prinses Saliang turut berkongsi pandangannya mengenai cabaran yang dihadapi oleh pereka muda dalam mengangkat identiti lokal.
“Sepanjang proses berkarya, bermula dari pembentangan awal, lakaran hingga ke perkembangan idea, saya melihat pelajar menunjukkan sikap yang sangat optimistik,” jelas beliau.
“Mereka berani bereksperimen dan tidak takut mencuba sesuatu yang baharu. Dari pihak saya sebagai pensyarah, saya memberikan input khususnya dari aspek kesesuaian skema warna dan styling supaya hasil akhir lebih seimbang dan menonjolkan identiti mereka.”
Namun, Prinses tidak menafikan adanya cabaran besar yang wajar diberi perhatian.
“Perkembangan budaya pop (pop culture) hari ini cenderung ke arah cultural misappropriation, seperti yang sering kelihatan dalam beberapa muzik video pop. Kadang kala, elemen budaya diambil tanpa pemahaman mendalam sehingga penghayatannya menjadi agak ‘artificial’,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa untuk benar-benar pergi ke peringkat global, karya seni tidak semestinya meniru atau tunduk pada konteks antarabangsa. “Going global is not about conforming to international context, but to stand in as genuine and original representation.
Apabila seseorang kreatif benar-benar memahami budaya lokalnya sendiri, karya yang dihasilkan akan lebih jujur, bernyawa dan mampu berdiri megah di pentas dunia.”
Baca: “Sentiasa Berani Untuk Bermimpi Walaupun Ia Tidak Masuk Akal” – Raja Irfan