Dalam dunia fesyen yang kini dipenuhi palet warna ‘nude’ dan minimalisme yang selamat, pereka fesyen muda, Myra Aznan tampil berani mencabar norma dengan taruhan ekspresi Black Parade melalui karya agungnya.
Aisya Myra Aznan atau panggilan mesra, Myra Aznan, 23, bukan sekadar mahu mencipta pakaian, dia mahu menghidupkan semula semangat fesyen maksimalis, memadukan keberanian Harajuku dengan sentuhan seni tempatan.
“Sejak kecil, saya memang seorang anak yang ceria dan sangat meminati seni. Tetapi pengalaman tinggal di Khartoum, Sudan pada awal persekolahan benar-benar memperkukuh minat saya terhadap seni kreatif.”
Dari kanvas seni Sabah ke pentas peragaan, perjalanan Aisya Myra adalah kisah tentang keberanian, seni dan suara lantang yang tidak mahu dibungkam dalam industri fesyen Malaysia.
Berasal dan kini menetap di Shah Alam, Aisya Myra merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Rekaan Fesyen (Kepujian) dari UiTM Shah Alam serta memiliki Diploma Seni dan Reka: Rekaan Fesyen dari UiTM Seri Iskandar. Latar belakang akademiknya yang kukuh memberi asas yang kuat untuknya meneroka dunia fesyen dengan lebih mendalam.
Berkongsi tentang konsep rekaannya, Aisya Myra menyatakan bahawa beliau ingin membawa nafas baharu dalam landskap fesyen tempatan.
“Konsep rekaan saya berteraskan avant garde Harajuku iaitu gabungan antara rekaan berkonsep tinggi, eksperimental dan tidak konvensional dengan pakaian jalanan yang lebih kasual dan mudah dipakai. Saya mahu mencabar norma, menghidupkan kembali semangat fesyen eklektik dan maksimalis yang semakin dilupakan akibat dominasi trend minimalis dan warna ‘nude’,” jelasnya.
Beliau turut menambah, “Saya membayangkan koleksi saya sebagai sesuatu yang lantang, dinamik, kacau-bilau tetapi masih bersatu. Walaupun menggabungkan tiga hingga empat corak berbeza dalam satu rekaan, keseluruhannya tetap jelas dan selesa dilihat. Bagi saya, fesyen bukan hanya pakaian tetapi seni harian untuk mengekspresikan keunikan diri setiap individu.”
Dalam koleksi semester akhirnya, Aisya Myra memilih untuk mengangkat seni tempatan Sabah melalui tema Prism dan Horizon.
“Saya mahu menonjolkan seni tempatan yang sering dipandang remeh. Inspirasi saya datang daripada karya Black Parade (2024) oleh Rosmaini Sunarjo. Lukisan akrilik ini mengetengahkan tema penghijrahan, penindasan dan usaha mempertahankan budaya serta alam sekitar,” katanya.
Namun, Aisya Myra tidak sekadar mencetak karya tersebut pada fabrik. “Saya menghasilkan cetakan dan tekstur sendiri yang diinspirasikan oleh elemen lukisan itu. Contohnya, fabrik denim yang saya gunakan diwarnakan dengan teknik resist flour paste dye sehingga motifnya menyerupai rekahan jalan yang dilalui watak-watak dalam karya itu. Banyak kemasan saya kekalkan dalam bentuk kasar, berjumbai dan tidak kemas kerana saya mahu ia menggambarkan perjuangan, penentangan dan keberanian.”
Bakat dan keberanian Aisya Myra mula mendapat perhatian apabila beliau memenangi Anugerah Perak serta Anugerah Pilihan Rakyat Daihatsu DMM Sales semasa pertunjukan fesyen ijazahnya.
“Syukur Alhamdulillah, kemenangan ini penutup yang sangat bermakna bagi perjalanan saya sebagai pelajar fesyen. Lebih penting, ia adalah permulaan untuk saya memperkenalkan diri sebagai pereka baharu dalam industri. Saya berharap pencapaian ini membuka lebih banyak peluang untuk saya berkembang dan memberi impak kepada dunia fesyen,” katanya penuh optimis.
Menurut pensyarah En. Muhamad Zharin Hariz Mat Mazelan, semester kali ini memperlihatkan pelbagai ragam dan cabaran yang perlu dihadapi oleh para pelajar.
“Secara keseluruhan, saya melihat pelajar-pelajar tahun ini mempunyai semangat dan daya usaha yang baik. Namun begitu, antara cabaran utama yang mereka hadapi termasuklah kekangan masa, keterbatasan ruang kerja, serta sumber penyelidikan yang agak terhad. Faktor-faktor ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada proses penghasilan idea dan perkembangan projek mereka,” jelasnya.
Tambah beliau, situasi ini menuntut pelajar untuk lebih kreatif dalam menguruskan masa serta bijak memanfaatkan setiap peluang dan sumber yang ada bagi memastikan hasil kerja mencapai standard yang diharapkan.