Marimekko sentiasa menjamu mata penggemarnya dengan sentuhan segar dan ceria menerusi himpunannya nan penuh warna. Di sebalik warna-warna sekeliling yang lebih monokrom atau polos, koleski Marimekko memecah kesunyian dengan tarikan warna dan corak yang cukup menarik.

Terkini, jenama dari Finland ini membuka butik keempatnya di Pavilion Kuala Lumpur selepas berjaya menambat penggemar fesyen sejak pembukaan butik sulung di Suria KLCC diikuti di The Exchange TRX. Menariknya, pembukaan butik baru ini juga diiringi dengan satu pameran yang cukup menarik di ruang utama Pavilion KL sendiri. Dinamakan sebagai Field of Flowers, pameran ini mengetengahkan cetakan bunga baharu hasil garapan lima artis kontemporari iaitu Erja Hirvi, Masaru Suzuki, Aino-Maija Metsola, Antti Kekki dan Eija Vehviläinen.
Selebriti terkenal seperti Scha Alyahya, Anzalna Nasir, Intan Ladyana bersama suami tersayang, Harris Alif dan pempengaruh seperti Baydoucet dan Mao Mao turut hadir penuh warna memeriahkan acara pembukaan. Pameran ini berlangsung selama enam hari dan berakhir pada 27 April. Pengarah Kreatif, Rebekka Bay turut hadir ke acara pembukaan pameran ini dan EH! berpeluang duduk bertentang empat mata dan menemubualnya.
Boleh ceritakan apa yang menarik tentang pameran Field of Flowers ini?
Istimewanya tentulah kerana sejak Marimekko dilancarkan inilah kali pertama kami bekerjasama dengan lima artis untuk menghasilkan 25 corak flora yang baru dan kami lancarkan kesemuanya dalam satu masa. Dan pelancaran ini bukan diperkenalkan menerusi koleksi semata malah diraikan dengan satu pameran khusus. Untuk koleksi ini mereka tampil dengan idea yang conceptual atau literal, atau kedua-duanya. Sudah lama sebenarnya Marimekko tidak melancarkan koleksi flora, koleksi flora pertama kami adalah pada tahun 1964.
Apa yang membuatkan koleksi menerusi Field of Flowers menyerlah dibandingkan dengan corak Marimekko sedia ada?
Setiap satunya unik dan setiap artis yang dipilih datang dengan ilham tersendiri. Ada yang membawa konsep kolaj. Apa yang uniknya lagi corak dari koleksi ini akan sama-sama dimasukkan bersama 3,500 corak yang ada dalam arkib kami, dan akan terus diraikan di masa hadapan.

Corak-corak ilham dari artis untuk Field of Flowers dijangka akan menjadi antara corak ikonik Marimekko, boleh ceritakan sedikit kisah pemilihan lima artis ini?
Apabila kami membuat keputusan untuk memilih lima pereka atau artis, kami terlebih dahulu meneliti barisan artis yang banyak menjadikan flora sebagai subjek karya mereka. Kita tahu setiap artis ada subjek kesukaan mereka, ada yang lebih ke arah abstrak, seni bina mahupun grafik. Kelima-lima artis yang kita pilih ini mempunyai DNA Marimekko yang kuat. Bila melihat hasil kerja mereka, agak susah untuk meneka sama ada ia corak baharu atau dari koleksi Marimekko yang sedia ada.
Pada pendapat kamu, apa yang membuatkan satu helaian itu malar segar, sama juga dengan aksesori?
Saya tak pasti jika kamu tahu atau tak yang Marimekko membawa maksud Mary’s dress. Kami melihat dan menilai setiap helaian yang dihasilkan sebagai satu bahan seni. Siluet yang kami ketengahkan juga bersifat malar segar dan kami tidak saratkannya dengan sebarang detil perincian. Potongan siluet Marimekko lazimnya banyak bermain dengan potongan A-line, hidden flair dan potongan lurus, siluet yang relevan merentas era.
Sustainable atau kelestarian adalah salah satu kekuatan Marimekko. Apa usaha Marimekko sebagai sebuah jenama dalam merealisasikan kelestarian?
Bagi saya malar segar atau timelessness adalah salah satu pokok utama dalam hal ini. Bila kami hasilkan sesuatu produk atau rekaan, ia mestilah bersifat malar segar agar ia dipakai lama. Begitu juga dengan pemilihan material, kebanyakannya ialah kain kapas organik atau yang dikitar semula.
Kami sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mencari material baharu, sama juga dengan bahan warna yang digunakan agar seiring dengan praktis kelestarian. Untuk barang hiasan rumah, seramik kami dibuat di Thailand, dan untuk kain kapasnya menggunakan kain kapas organik Helsinki.
Marimekko adalah satu jenama yang dikenali sebagai jenama fesyen dan gaya hidup yang menginspirasi. Apakah usaha utama dalam memastikan visi ini tercapai?
Saya rasa salah satu kuncinya ialah bila kita menghasilkan sesuatu produk ia mestilah memberi makna dan membawa keseronokan. Dan kerana itu fokus kami tidak tertumpu kepada penawaran produk semata, kami seiringkannya dengan pengalaman menerusi pelbagai aktiviti seperti kafe, trunk show dan pameran. Dua minggu lalu kami membina katil yang besar sempena Milan Design Week, yang mana kami bekerjsama dengan artist Laila Gohar.
Minggu lalu kami memperkenalkan bar di Helsinki sempena Marimekko Day seperti di Tokyo tahun lalu. Kami mahu komuniti Marimekko meraikan nilai-nilai ini bersama kami. Dan kami percaya kolaborasi juga salah satu cara untuk merealisasikan visi kami dalam menajdikan Marimekko sebuah jenama yang menginspirasi.
Menyebut tentang kolaborasi, mungkinkah satu hari nanti Marimekko akan bekerjasama dengan mana-mana artis dari Malaysia?
Kami sentiasa mencari dan melihat artis yang berpotentsi. Dan saya percaya proses ini lebih bersifat intuitif. Kami mahu terus berhubung dengan artis dan budaya secara global. Dan kadang-kadang kolaborasi ini kami usahakan mengikut tema seperti Field of Flowers, atau sambutan ulang tahun dan sebagainya.
Bagaimana kehidupan harian kamu sebagai seorang pengarah kreatif?
Ini soalan yang bagus kerana saya tak rasa saya ada jadual harian. Ada masanya saya perlu terbang ke sana sini kerana kerja. Kehidupan saya juga sering berulang alik antara Helsinki dan Copenhagen. Jika mahu berinspirasi dan memikir hal kreatif saya suka berada di Copenhagen, pasukan kerja saya juga berpusat di sini. Dan penting juga untuk ke pejabat di Helsinki.
Saya juga banyak berpergian untuk berada di mana activation kami dilancarkan. Saya rasa bertuah apabila tugas saya ini membuka pintu untuk saya berhubung dengan ramai orang, dan orang-orang ini banyak memberi inspirasi.
Boleh kongsi perancangan seterusnya untuk Marimekko sepanjang tahun 2025?
Pameran Field of Flowers akan bergerak ke destinasi seterusnya, selepas Kuala Lumpur ia akan ke Taiwan, Vietnam, Hong Kong dan lain-lain destinasi lagi. Kami juga akan mengambil bahagian di Copenhagen Fashion Week menjelang Ogos. Oktober nanti ada satu aktiviti menarik di Tokyo yang tidak dapat saya kongsikan buat masa ini.

Saya seorang yang tidak berani memakai helaian bercorak, dan saya rasa ramai juga seperti saya di luar sana. Boleh kamu kongsikan tip bagaimana atau apakah cara selamat untuk saya mula belajar memakai helaian bercorak?
Saya kenal seseorang yang sangat hebat menyuai padan pakaian bercorak. Saya juga seorang yang sangat minimalis. Bila saya menyertai Marimekko, ada yang bertanya bagaimana saya hendak memesrakan diri dengan Marimekko yang sifatnya memang sarat corak dan penuh warna. Tapi itu bukan masalah kerana saya melihat Marimekko sebagai satu hasil seni.
Untuk permulaan saya sarankan kamu memilih corak yang besar kerana ia akan terlihat lebih abstrak berbanding corak yang kecil-kecil. Jangan malu, go super bold. Kamu juga boleh mencuba Marimekko Maridenim, saya rasa ia pilihan tepat untuk pemula kerana coraknya lebih subtle, low–key.
Apa kata-kata akhir kamu untuk pembaca EH!?
Saya harap kamu semua boleh luangkan masa ke Field of Flowers kerana ini salah satu cara untuk kalian mengenali lebih rapat dengan Marimekko. Ia sesuatu yang berbaloi untuk dikunjungi. Dan saya harap kalian juga boleh membantu saya untuk mencipta fenomena flora menerusi koleksi dan pameran ini.
Klik pautan Marimekko Malaysia untuk kemas kini terbaru termasuk muat naik koleksi terkini yang pastinya penuh warna.