EH! menyorot lima khabar fesyen terkini di minggu pertama Februari 2025.
DAVID BECKHAM HIASI KEMPEN SELUAR DALAM BOSS
“Saya pernah berkata yang karier saya sebagai model pakaian dalam sudah berakhir, tapi saya tak mampu menolak bila BOSS datang dengan visi mereka tentang koleksi ini dan dalam masa sama memanggil Mert dan Marcus untuk merakamkan kempen ini,” kata Beckahm.
Koleksi BOSS ONE Bodywear dibarisi pakaian dalam asas buat lelaki termasuk trunks, brief, baju dalam dan baju-t dalam warna hitam dan putih. Tiap helaian menjanjikan keselesaan biarpun ia mendakap erat tiap lekuk tubuh.
LADY GAGA MENYARUNG VALENTINO DI GRAMMY
Lady Gaga memilih untuk menyarung persalinan dari Valentino untuk persembahannya bersama Bruno Mars di Anugerah Grammy ke-67 yang berlangsung di Los Angeles. Gaun yang digayakannya itu adalah dari koleksi musim bunga/panas 2025 ‘Pavillon Des Folies’ yang diilhamkan oleh Alessandro Michele.
BALENCIAGA LANCAR KEMPEN LE CITY PAPARAZZI
Balenciaga melancarkan kempen beg tangan ikoniknya Le City menggunakan rakaman imej paparazi dari era 2000-an. Beg tangan Balenciaga ini antara tas tangan ‘penting’ di era 2000-an dan sering saja menjadi pilihan selebriti ternama.
Imej rakaman paparazi ini disunting untuk disesuaikan dengan konsep watermark ‘stock photo’ yang banyak dipaparkan di laman web suatu ketika dulu. Paris Hilton, Tyra Banks, Alek Wek, Alessandr Ambrossio, Amber Valletta dan Claudia Schiffer antara ikon yang muncul di dalam kempen ini.
REESE WITHERSPOON PILIH CELINE CAMILLE
Bintang ‘Legally Blonde’, Reese Witherspoon dirakam menggayakan persalinan Celine lengkap dengan tas tangan Celine Camille. Reese yang dirakam menggayakan sut serba ungu bersama kot wool melengkapkan penampilannya dengan tas tangan Celine Camille dalam warna perang.
TOD’S T TIMELESS BAG
Tod’s mengembangkan lagi ikonnya, T Timeless beg yang masyhur dengan logo ‘T’ dengan reka bentuk yang baharu. Bukan sekadar beg untuk digalas pada bahu semata, ia kini lebih variasi dengan beg mini, APA Bauletto, Secchiello Mini serta beg beli-belah yang lebih besar, praktikal dan semestinya versatil.