Empat figura terkenal tampil fun dalam himpunan terbaru Since 1984 Louis Vuitton, himpunan yang menemukan identiti klasik Louis Vuitton dalam interpretasi gaya hari ini.
Tidak keterlaluan andai kami katakan paten atau monogram Louis Vuitton antara paten fesyen yang paling popular. Tanyalah pada mana-mana orang yang celik fesyen, percayalah bila bercakap tentang monogram, nama Louis Vuitton tidak akan tertinggal dalam senarai. Dari sekecil-kecil pemegang kunci, dompet syiling hinggalah ke kasut, tas tangan mahupun sebesar trunk, Louis Vuitton cukup bangga mengabadikan monogram mereka. Malah, rata-rata penggemar fesyen bangga bila mereka mampu menyarung mahupun mengendong apa sahaja yang bercetak monogram Louis Vuitton.
Tahun ini menyaksikan gaya monogram terus cemerlang bila mana Louis Vuitton dengan bangganya terus bermain dengan identiti ikonik mereka itu. Nicholas Ghesquière, pengarah kreatif himpunan wanita label kelahiran Paris ini dengan seronoknya bereksperimentasi pelbagai rekaan dan idea berpaksikan idea motif jacquard. Ilham signature Louis Vuitton itu diabadikan pada aksesori dan helaian-helaian terkini mereka menerusi koleksi SINCE 1854.
Mengimbau kembali detik permulaan lahirnya idea paten ini, ia dicetuskan oleh Georges Vuitton yang mereka kanvas monogram sebagai penghargaan kepada ayahnya, yang mana dia menghasilkan kot untuk ayahnya berilhamkan hiasan rumah agam mereka di Asnières. Koleksi ini juga dinamakan sebagai SINCE 1854 kerana pada tahun itulah Louis Vuitton diasaskan.
Kebijaksanaan Ghesquière bermain dengan paten ini membuatkan cetakan dalam himpunan ini begitu ketara, namun sedikit pun tidak nampak canggung, tidak kelihatan seperti terlalu vintaj, masih relevan dengan ilham gaya semasa tanpa mencemari keagungan monogram Louis Vuitton itu sendiri. Seperti yang dilihat dalam himpunan ini, Ghesquière menjelmakan monogram Louis Vuitton dalam warna kelabu dan merah burgundy dan Januari tahun hadapan akan menyaksikan ilham ini tampil dalam fabrik denim.
Meraikan himpunan ikonik ini, EH! dan Louis Vuitton Malaysia mengundang empat wajah popular Malaysia untuk bereksperimentasi gaya. Nora Danish, Janna Nick, Intan Najwa dan Ameera Khan tampil dengan aksi dan gaya tersendiri kala menggayakan helaian dan aksesori dari himpunan ini. Himpunan ini juga selain boleh dibeli terus di butik Louis Vuitton di Starhill, Suria KLCC dan The Gardens, ia juga boleh dibeli secara atas talian di www.louisvuitton.com
beg Speedy Bandoulière daim tekstil jacquard SINCE 1854.