Cetakan harimau dan permainan logo monogram mendominasi himpunan Tahun baru Cina Burberry.
Permulaan tahun 2022 dibuka dengan kempen-kempen fesyen sempena Tahun Baru Cina yang bakal diraikan Februari nanti. Saban tahun semakin banyak jenama yang melebarkan himpunan mereka dengan koleksi khusus meraikan perayaan ini, termasuklah Burberry.
Tahun ini menyaksikan Burberry bekerjasama dengan jurugambar terkenal, Feng Li untuk merakam empat figura oriental ternama iaitu Liu Bingbing, Liu Chunjie, Wang Xiangguo dan Yang Ling.
Ilham pokok pada himpunan ini rata-ratanya bermain dengan ton oren persis kulit harimau berserta logo Thomas Burberry yang tampil dalam warna beige madu, dan ini semua dapat dilihat baik pada aksesori mahupun helaian Burberry.
Beg ikonik Burberry di era baharu, Lola tampil dalam ton jingga menyuntik semangat harimau. Kunci gaya kepada identiti beg ini tentunya terletak pada rantai tas tangan ini berserta Thomas Burberry Monogram. Antara tas tangan yang turut dihembus roh ‘harimau’ ialah poc Olympia, beg tote dan messenger bag. Koleksi ini juga dilengkapi dengan topi besbol.
Melihatkan pada helaian baik lelaki mahupun perempuan, Burberry banyak bermain dengan cetakan gambar harimau dan juga memanipulasi monogram logonya. Ini semua dapat dilihat pada gaun-kemeja sutera dan juga kemeja longgar yang dipadankan bersama seluar dalam potongan celana joging. Himpunan ini juga lengkap bersama skarf, sepatu serta sniker dalam gaya senada.
Baca: Gaya Karpet Merah taylor Swift Pilihan EH!