Selepas kejayaan bersama Mugler pada awal tahun ini, H&M sekali lagi mahu merancakkan himpunannya sebagai satu komponen penting dalam landskap fesyen tahunannya. Kolaborasi bersama rumah fesyen terkenal Rabanne bakal menghiasi butik H&M terpilih November ini.
Kekal sebagai nama disegani dalam senario fesyen dengan reka bentuk avant-garde, jenama Rabanne telah mengalami kebangkitan yang luar biasa di bawah arahan kreatif Julien Dossena. Baru-baru ini jenama fesyen terkenal H&M dan Rabanne meraikan kerjasama mereka yang akan datang, menghimpunkan individu terkenal dari industri fesyen di sebuah kelab malam di Silencio, Paris.
Selaras dengan estetika koleksi, acara glamor itu diserikan dengan kehadiran Jared Leto, Damson Idris, Irina Shayk, dan Elle Fanning yang telah diberikan pratonton eksklusif koleksi sebelum pelancaran rasminya.
H&M merupakan antara yang terawal mula bekerjasama dengan nama fesyen besar, memulakan siri kerjasama dengan mendiang Karl Lagerfeld pada November 2004. Sejak itu, mereka telah bergabung tenaga dengan beberapa rumah fesyen popular seperti Versace, Comme des Garçons, Balmain, Maison Margiela, Stella McCartney, Mugler dan terbaharu Rabanne untuk mencipta koleksi istimewa yang membawa fesyen mewah kepada orang ramai.
Koleksi yang menerujakan ini mempamerkan gaya glamor dan meriah, tekstur metalik yang menakjubkan dan hiasan berkilau. Bukan sahaja merangkumi pakaian wanita, himpunan ini turut disempurnakan dengan helaian buat lelaki dan aksesori yang menarik.
Lebih menarik koleksi ini juga diperhebat dengan item dekorasi sekaligus menjadikan Rabanne menjadi kolaborasi sulung pertama H&M yang menampilkan koleksi hiasan rumah dan dijadualkan bakal menghiasi butik H&M terpilih dan hm.com bermula dari 9 November 2023.
“Pakaian metalik Rabanne adalah cebisan sejarah fesyen yang dikenali. Kami sangat teruja untuk membawakan koleksi rekaan Rabanne yang mempesona kepada pelanggan kami melalui kerjasama yang menarik ini.” – Anne Sophie Johansson, Ketua Reka Bentuk Pakaian Wanita dan Penasihat Kreatif H&M.
Acara eksklusif itu dimulakan dengan persembahan dari bintang pop Sweden, Robyn dan DJ terkenal Korea Selatan, Peggy Gou yang menambahkan rasa glamor yang luar biasa. Tampil dengan gaya yang menawan daripada koleksi H&M x Rabanne, penyanyi dan pelakon Amerika Syarikat, Cher membuat penampilan memukau sebagai tetamu istimewa.
Memfokuskan trend dan koleksi mampu milik, kerjasama antara kedua-dua entiti fesyen ini mencapai pencapaian yang luar biasa dengan menjadikan kemewahan dapat diakses oleh orang ramai.
Turut dihadiri personaliti terkenal seperti Amina Muaddi, Tyga, Rianne Van Rompaey, Alexander Edwards, Jade Rabarivelo, Rafael Pavarotti, dan Issa Perica menyerikan acara dalam memakai koleksi berkilau tersebut. Pengarah kreatif Rabbane, Julien Dossena, dengan gembira menyatakan kepuasannya bekerjasama bersama H&M dan menyifatkan Rabanne sebagai jenama yang memancarkan keseronokan, dia mahu orang ramai merasa bebas apabila memakai koleksi itu.
Acara itu merakamkan intipati sebenar koleksi H&M x Rabanne dengan sempurna, dan amat menyeronokkan baginya untuk menyaksikan tetamu berseronok dan menerima semangat hedonistik koleksi tersebut.
Koleksi eksklusif yang terkenal dengan sifat edisi terhad ini telah berjaya menjadikan dunia fesyen lebih mudah diakses oleh semua orang. Rabbane, yang terkenal dengan tekstil metalik dan bentuk berani yang sering dikaitkan dengan estetika futuristik, akan memenuhi keperluan peminat fesyen yang lebih luas dengan gabungan harmoni dan kreativiti bersama H&M.
“Sebagai pereka, saya sentiasa berminat untuk meneroka hedonisme dan pemerkasaan. Saya sangat teruja untuk bekerjasama dengan H&M dalam koleksi yang akan memperkenalkan tenaga avant-garde Rabanne kepada khalayak yang lebih luas dengan cara yang demokratik,”- Julien Dossena, Pengarah kreatif Rabanne.
Artikel Berkaitan: ‘Million Royal’ Taruhan Kemewahan Baharu Paco Rabanne