“Kami mahu mencipta sesuatu yang menjadikan hidup tidak bosan,” kata Maurizio Cattelan, artis dan pengasas bersama TOILETPAPER.
Saya ke pejabat Longchamp Malaysia seminggu sebelum kolaborasi ini diumumkan secara global, dan saya sempat melihat dan membelek secara dekat sebahagian dari koleksi ini. Fun, colourful, quirky dan sedikit comel dan nakal, itu yang boleh saya simpulkan tentang koleksi ini.
Longchamp selalu sahaja melangsungkan kolaborasi dan saya rasa ini antara yang lari dari kelaziman jenama dari kota Paris ini. Jalinan ilham bersama Toiletpaper, yakni sebuah penerbitan ilham duo Maurizio Cattelan dan Pierpaolo Ferrari ini memang akan membuat sesiapa yang melihat berpaling dua tiga kali.
Koleksi Longchamp X Toiletpaper ini menyaksikan Toiletpaper menerapkan pelbagai imej dari arkibnya untuk diabadikan pada Le Pliage®. Lima imej ikonik menjadi pilihan antaranya ialah lakaran kuda (juga penghormatan kepada logo Longchamp sendiri), ada juga lakaran roti baguette (cukup signifikan di Perancis) dan juga rokok paip selain lakaran imej haiwan lain seperti anjing.
Bagi Pierpaolo Ferrari yang juga merupakan seorang jurugambar, menerusi kolaborasi bersama Longchamp ini mereka mahu setiap orang mentafsir pelbagai mesej pabila mereka melihat imej atau lakaran yang ada pada Le Pliage®. Kami menggunakan stail kontemporari dengan hajat mahu membuatkan orang teruja dan terkejut. Kami mahu berilham dengan ikon Perancis dan setiap imej pilihan kami boleh ditafsir dari pelbagai perspektif.”
Menurut Pengarah Kreatif Longchamp, Sophie Delafontaine pula, mereka sangat teruja dengan jalinan kerjasama ini kerana baginya Toiletpaper menyajikan ilham seni, fesyen dan budaya pop yang sangat unik dan punya unsur humor.
“Kami dapat rasakan estatika serta sentuhan berani mereka seiring dengan visi Longchamp yang penuh warna,”- Sophie Delafontaine.
Koleksi Longchamp X Toiletpaper bakal berada di pasaran bermula 18 Julai 2023 di semua butik Longchamp dan juga secara dalam talian. Dan khusus sempena pelancaran koleksi ini juga, Longchamp membuka satu pop-up eksklusif di Gasket Alley, Petaling Jaya pada 18 Julai selama beberapa hari.