Dengan berjuta peminat di seluruh dunia, Dua Lipa kembali menggegarkan Malaysia sempena konsert jelajah dunia, ‘Radical Optimism Tour’. Yang pasti, gayanya atas pentas pasti memukau!
Dua Lipa mengumumkan konsert jelajah Asia, Radical Optimism dan sensasi pop British-Albania yang terkenal itu akan singgah di Kuala Lumpur pada 23 November 2024, di stadium Axiata Arena Bukit Jalil.
Selain persembahannya yang penuh tenaga, konsert Dua Lipa juga dipenuhi dengan detik-detik fesyen yang memukau, mencerminkan gaya peribadinya yang berani dan menggoda.
EH! kongsi gaya yang menjadi pilihan semasa Dua Lipa membuat persembahan sepanjang konsert jelajah dunia:
DIOR
Bermula dengan gaya yang seksi, gabungan baju dalam dan skirt mini, Dua Lipa memakai set Dior semasa jelajah dunianya. Set ini menampilkan baju dalam Dior yang dipenuhi cetakan ‘Dior’ klasik berona coklat lembut, ditegaskan dengan garisan tiga rona terang pada bahagian hujung.
Dengan corak yang sama, skirt mini Dua menampilkan reben di sisi, tiga garisan berona terang pada bahagian bawah. Penyanyi itu melengkapkan gayanya dengan stokin sama padan dan sepasang kasut merah jambu lembut.
BALENCIAGA
Dua Lipa terkenal dengan sifatnya yang menggoda, menjadikan ‘catsuit‘ sebagai gaya statement pada konsert jelajah dunia. Bintang pop itu memakai catsuit renda berona kuning neon rekaan Balenciaga.
Sut itu menampilkan korset dan seluar yang dicantum sekali. Melengkapkan gayanya, Dua menambah aksesori sarung tangan opera paras siku yang sepadan dan anting-anting Eéra yang dihiasi berlian.
BALENCIAGA
Sudah tentu, bukan sekali sahaja Dua akan menyarung catsuit, kali ini versi rona fucshia! Dengan perincian renda yang sama, sarung tangan opera dan korset, membuktikan bahawa dia masih kelihatan HOT walaupun memakai sut yang sama dengan rona yang berbeza.
VERSACE
Dua Lipa memaparkan catsuit berona perak berkilauan oleh Versace dengan perincian lengan tidak simetri dan potongan pada dada serta perut.
Dia melengkapi helaian itu dengan but bertumit perak sama padan dan stoking jala.
MUGLER
Highlight of the tour! Catsuit rekaan Mugler itu betul-betul memukau, menarik perhatian semua peminat Dua Lipa di seluruh dunia. Catsuit mesh berona hitam itu menampilkan beratus-ratus kristal berkilauan di sepanjang potongan jaringan dan fabrik untuk mencipta corak berpusar di sepanjang badannya.
Sarung tangan yang sepadan juga dibuat untuk melengkapkan gayanya pada malam itu. Tidak perlu aksesori dan solekan berlebihan, catsuit itu sahaja cukup membuatkan Dua Lipa bersinar.