Anugerah Juara Lagu ke-38 yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur meriah dengan kehadiran para selebriti dan jemputan ternama dengan gaya yang memukau.
Detik bermakna buat tiga pengkarya muzik, Amir Jahari yang muncul sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-38 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi. Lagu Hasrat telah diangkat sebagai lagu terbaik dengan penyampaian persembahan yang sangat menusuk jiwa. Penyanyi dan pemuzik hebat lain, seperti Aisha Retno dan Aina Abdul turut memenangi dalam kategori masing-masing.
Selain berdebat tentang vokal, penghasilan lagu dan mutu persembahan, fesyen yang memeriahkan AJL38 juga menjadi perhatian. menampilkan konsep ekstravaganza menerusi tema Muzikaverse, Setiap finalis yang bertanding, memberi kepercayaan sepenuhnya kepada krew-krew GLAM mereka untuk merangka imej-imej tertentu, bagi menepati konsep dendangan lagu. Di sini, EH! sajikan gaya fesyen para selebriti yang hadir ke AJL38.
Aina Abdul
Aina Abdul, tidak pernah mengelak daripada momen fesyen yang pelik dan dramatik. Tidak pernah mengecewakan, Aina tampil membuat persembahan di AJL dengan gaya yang memukau ala akar pokok. Aina menyarung busana yang direka khas buatnya oleh Melinda Looi. Sangat kreatif!
Aisha Retno
Aisha Retno sering tampil dengan gaya kegemarannya, tradisional moden. Di karpet merah AJL, Aisha kelihatan memukau dibaluti gaun hitam mengikut siluetnya yang berperincian emas di bahagian depan dan kepak berbulu dibelakangnya. Gaun yang mencuri tumpuan itu ialah rekaan Ezuwan Ismail. Melengkapi gayanya, Aisha menyarung sepatu tumit tinggi dan headgear.
Sherry Alhadad
Pengacara padan malam AJL, Sherry Alhadad juga tidak lari daripada berpakaian menangkap mata. Untuk gaya yang pertama, Sherry menyarung gaun korset metalik rona perak rekaan Teruntum Putih.
Untuk gaya yang kedua, Sherry menyarung gaun kembang warna manggis muda. Gaun tafeta itu dilengkapi dengan kemasan net kembang pada bahagian kiri, kanan dan belakang bersama puff sleeves rekaan Teh Firdaus.
Dayang Nurfaizah
Dayang Nurfaizah tampil sungguh elegan dengan gaun putih dalam Haute Couture Rizalman rekaan Faizul. Melengkapi gayanya, Dayang menyarung sepatu tumit tinggi berona merah sama padan bibir dan kuku untuk melengkapkan gayanya malam itu.
Shila Hamzah
Walaupun berbadan dua, ia tidak membuatkan Shila Hamzah gentar untuk tampil berani. Shila menyarung gaun biru metalik rekaan pereka muda duo, Nazrin dan Asyraf.
Ernie Zakri
Ernie Zakri tampil dengan gaya flowy dan fiery dalam rekaan Amazae. Korset merah dengan perincian braids dan pleats dipadankan dengan celana pleats ini diinspirasikan daripada ikan laga. Ernie menyarung hijab yang dipenuhi berlian untuk melengkapkan gayanya pada malam itu.
Nabila Razali
Nabila Razali kelihatan sungguh glamor dalam rekaan Amazae. Nabila menyarung gaun berona merah jambu dengan lengan panjang meleret.
Wany Hasrita
Wany Hasrita tampil dengan serba hijau zamrud dengan perincian emas rekaan Ezuwan Ismail.
Marsha Milan
Marsha Milan menjadi tumpuan dengan solekan bibir pucat dan kelihatan natural beauty! Selain solekannya, busana Marsha malam itu cukup memukau dengan rona merah menjerit.
Shiha Zikir
Shiha Zikir menyarung busana ala tradisional campuran moden. Dipadankan dengan korset, busana songket Shiha pada malam itu ialah rekaan daripada Dwenhara.