AIM24 bukan sekadar malam penghargaan muzik, tetapi juga pentas fesyen penuh glamor di Arena of Stars, Genting Highlands.
Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) bukan sahaja meraikan pencapaian hebat industri muzik tanah air, malah turut menjadi sorotan fesyen berprestij. Bertempat di Arena of Stars, Genting Highlands, acara penuh glamor ini menyaksikan barisan selebriti melangkah dengan gaya yang memukau, seiring dengan tema rasmi “Kemuncak Segala-galanya”.
AIM24 dihiasi dengan penampilan elegan para artis yang tampil dalam persalinan formal evening wear. Lelaki segak dalam sut dan tuxedo dengan sentuhan moden, manakala selebriti wanita menyerlah melalui gaun malam serta ballgown eksklusif yang diinspirasikan daripada cita rasa couture antarabangsa. Setiap busana bukan sekadar pakaian, tetapi statement gaya yang melambangkan identiti masing-masing.
Malam berprestij ini sekali lagi membuktikan bahawa AIM bukan hanya pentas muzik, tetapi juga ruang di mana fesyen diraikan sama gahnya. Dari rekaan klasik hingga eksperimen moden yang berani, AIM24 menonjolkan kreativiti pereka fesyen tempatan dan antarabangsa melalui artis yang menghiasinya, menjadikan acara ini bak pentas peragaan fesyen mewah di Malaysia.
Aina Abdul
Gaya Aina Abdul di AIM24 begitu berkarisma dengan gaun hitam dramatik rekaan IsyraFarysi. Siluet kembang yang megah dipadukan dengan bahagian atas berkilau perak serta bahu berstruktur futuristik, menjadikan penampilannya tampak avant-garde dan ikonik.
Hijab hitam polos digayakan ringkas bagi menyeimbangkan busana, manakala perincian tali leher hitam menambah sentuhan eksperimental. Keseluruhannya menyerlahkan identiti fesyen Aina yang berani dan unik, seiring dengan aura bintang besar di pentas berprestij.
Ara Johari
Ara Johari menyerlah dengan gaya sofistikated dalam persalinan serba putih rekaan Khairi Sufi yang menggabungkan maskulin dan feminin.
Tailored suit berpotongan kemas dipadankan dengan lengan renda sheer yang romantik, manakala ekor renda dramatik yang dibentuk menyerupai reben di bahagian belakang menjadi titik fokus penuh elegan.
Daiyan Trisha




Daiyan Trisha tampil anggun dalam gaun rekaan Alia Bastamam yang penuh aliran romantis. Siluet nude gown berfabrik chiffon lembut dengan draping dramatik di bahagian sisi, menjadikan setiap langkahnya di karpet merah begitu mempesona.
Perincian halus di bahagian leher dan bahu menambah sentuhan mewah, manakala aksesori dari Chopard melengkapkan gaya dengan kilauan elegan. Keseluruhan penampilan Daiyan menyerlahkan kecantikan semula jadi dan sofistikasi moden, sesuai untuk malam berprestij AIM24.
Dato’ Sri Siti Nurhaliza
Biduanita negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza menyerlah penuh pesona dalam persalinan ungu keemasan rekaan Bianca Bella. Sentuhan tradisional moden, songket dengan sulaman emas sarat perincian manik memberi aura mewah dan regal, manakala gandik elegan melengkapkan penampilannya bak ratu. Hijab senada dipadankan ringkas, menjadikan keseluruhan gaya tampak anggun, berprestij dan seiring dengan status beliau sebagai ikon muzik tanah air.
Ernie Zakri




Ernie Zakri tampil memukau dalam gaun hitam eksklusif rekaan Amaze yang memadukan elemen dramatik dan sofistikasi. Fabrik berkilau dengan sulaman perak halus mencipta tekstur mewah, manakala potongan korset memberi ilusi pinggang ramping yang berstruktur.
Lilit kepala yang sepadan menambahkan dimensi elegan, menjadikan keseluruhan penampilan lebih regal dan penuh aura bintang. Sentuhan dramatik pada ekor gaun satin yang panjang melengkapkan gaya berani Ernie di karpet merah AIM24.
Baca: