Setiap tahun, Met Gala jadi medan “perang fesyen” paling epik, ada yang dipuji, ada juga yang buat orang tertanya-tanya, “ini fesyen atau eksperimen?”
Met Gala sentiasa jadi tumpuan setiap kali berlangsung. Karpet merahnya dipenuhi penampilan yang berani, pelik, dan kadang-kadang sukar difahami. Dalam usaha untuk menonjol dan ikut tema yang ditetapkan, ada selebriti yang sanggup mengambil risiko besar dengan gaya yang di luar jangkaan.
Tidak semua pilihan fesyen itu diterima baik. Ada yang dikritik hebat kerana dianggap keterlaluan, tidak sesuai, atau mencetuskan isu sensitif. Dalam masa yang sama, ada juga yang mempertahankan gaya tersebut sebagai bentuk seni dan kebebasan ekspresi. Reaksi bercampur inilah yang membuatkan setiap penampilan terus diperkatakan lama selepas acara berakhir.
Jom kita lihat gaya Met Gala paling kontroversial yang pernah menggegarkan dunia hiburan!
Kim Kardashian
Kim Kardashian sekali lagi mencetuskan fenomena di Met Gala 2022 apabila tampil dengan gaun ikonik milik Marilyn Monroe. Gaun berwarna ivory berkilauan itu pernah dipakai Monroe ketika menyanyikan lagu “Happy Birthday” kepada John F. Kennedy pada tahun 1962, satu momen bersejarah yang kekal dalam budaya pop.
Kardashian meminjam gaun tersebut daripada Ripley’s Believe It or Not!, yang sebelum ini membelinya melalui Julien’s Auctions pada tahun 2016 dengan harga sekitar $4.81 juta. Menurut Kim Kardashian, gaun itu tidak boleh diubah suai sama sekali. Demi memakainya, dia mendedahkan bahawa dirinya menurunkan sekitar 16 paun dalam tempoh singkat.
Kim Kardashian mencuri perhatian di Met Gala 2021 apabila tampil dengan gaya yang langsung menutup wajah sepenuhnya, satu pilihan yang benar-benar di luar jangkaan. Penampilan serba hitam itu direka oleh Balenciaga, menampilkan bodysuit berlengan panjang berleher tinggi yang dipakai di bawah gaun T-shirt oversized dengan ekor labuh berlipat.
Keseluruhan gaya dilengkapkan dengan but, sarung tangan, dan topeng daripada material jersi yang menutupi kepala hingga ke muka, menjadikan identitinya seolah-olah “hilang” di atas karpet merah.
Walaupun ada yang memandang sinis terhadap penampilan tersebut, ramai juga melihatnya sebagai bukti pengaruh kuat Kardashian dalam dunia fesyen. Gaya itu mencetuskan perbualan tentang identiti, jenama diri, dan bagaimana seseorang masih boleh dikenali walaupun tanpa logo atau wajah yang ditonjolkan.
Katy Perry
Pada tahun 2019, Katy Perry memilih untuk mentafsir tema “Camp” secara literal apabila tampil di karpet merah dengan kostum menyerupai sebuah candelier gergasi lengkap dengan lampu yang benar-benar menyala.
Busana tersebut direka oleh Jeremy Scott untuk Moschino, menampilkan gaun mini perak yang disaluti kristal Swarovski bersama kolar padanan. Bahagian hadapan busana dihiasi untaian kristal jernih yang menjurai ke bawah, sementara sebuah struktur korset berbentuk candelier dipakai di pinggang. Penampilannya dilengkapkan lagi dengan aksesori kepala berupa candelier versi lebih kecil, menjadikan keseluruhan gaya itu sukar untuk diabaikan.
Rihanna
Bagi tema Met Gala 2018, “Heavenly Bodies: Fashion and the Catholic Imagination,” Rihanna tampil dengan gaya yang sarat simbol keagamaan. Dia mengenakan mitre, hiasan kepala yang biasanya dipakai oleh uskup, bersama gaun mini tanpa tali yang mewah, lengkap dengan jubah berkolar padanan rekaan Maison Margiela Artisanal.
Walaupun penampilannya jelas menepati tema, reaksi yang diterima agak bercampur. Ada yang memuji keberanian dan ketelitian konsep tersebut, namun tidak kurang juga yang menganggapnya tidak sensitif terhadap agama Katolik. Di media sosial, beberapa kritikan keras muncul, termasuk pandangan bahawa simbol keagamaan tidak sepatutnya dijadikan kostum fesyen, malah ada yang menyifatkan penampilan itu sebagai keterlaluan.
Taylor Swift
Penampilan Taylor Swift di Met Gala 2016 jelas berbeza daripada imej lembut yang sering dikaitkan dengannya sebelum itu. Penyanyi tersebut mencuri perhatian dengan gaun mini metalik rekaan Louis Vuitton yang dipadankan bersama but berpotongan unik. Namun, perubahan paling ketara terletak pada gaya keseluruhannya, rambut bob pendek berwarna blonde pucat serta solekan bibir hitam yang memberi aura lebih berani dan edgy.
Princess Diana
Princess Diana terkenal dengan keberaniannya melawan norma, dan gaya fesyennya turut mencerminkan sikap tersebut.
Di Met Gala 1996, beliau tampil dengan gaun slip sutera berwarna navy yang dihiasi renda hitam, rekaan pertama koleksi haute couture oleh John Galliano ketika beliau menjadi Pengarah Kreatif untuk Dior.
Penampilannya dilengkapkan dengan lapisan tambahan seperti jubah sutera sepadan yang menyerupai robe, serta rantai choker mutiara dan nilam yang menjadi tanda gaya ikoniknya.





