Dari gaya kasual yang chic hingga ke gaya glamor di karpet merah, selebriti curvy ini telah menunjukkan bagaimana fesyen dapat digunakan sebagai cara mengekspresikan diri.
Fesyen tanpa sempadan. Itulah ungkapan yang tepat menggambarkan dunia fesyen selebriti, baik di Hollywood mahupun di pentas tempatan. Kreativiti dan keberanian dalam berekspresi melalui busana telah menjadi ciri khas mereka. Dalam edisi ini, EH! menyelami lima gaya ikonik dari selebriti curvy yang telah mencuri perhatian kami dengan penampilan berfesyen mereka.
Semak 5 Gaya Selebriti Curvy Paling On-Point;
1. Lana Del Rey
Penampilan Lana Del Rey, di karpet merah Anugerah Billboard Women in Music di Inglewood, California tahun lepas telah menarik perhatian kami. Dia mengenakan gaun renda bertabur corak paisley kuning dari koleksi resort 2023, Zimmermann, sebuah rekaan yang sempurna.
Lana melengkapi penampilannya dengan tali pinggang kuning, serta gelang yang menambah sentuhan kemewahan. Dia juga menggayakan bersama sepasang sandal bertumit terbuka berwarna emas yang elegan, menyerlahkan setiap langkahnya. Untuk solekan, Lana memilih gaya klasik, dengan bibir matte dan pembayang mata smokey.
2. Lana Condor
Memukau tetamu dengan gaya romantiknya di acara karpet merah Annual Unforgettable Gala ke-21 di Beverly Hills. Lana Condor mengenakan gaun dua tona dari Andrew Kwon. Gaun tersebut memperlihatkan siluet tanpa lengan dengan korset hitam yang elegan, serta skirt panjang berwarna metalik yang berkilau, dengan garis pinggang peplum yang menonjol.
Walaupun kasut yang dipakai bintang “To All The Boys I’ve Loved Before” tersebut tidak kelihatan, penampilannya tetap mencuri perhatian. Sebagai pelengkap, Lana mengenakan sarung tangan kulit hitam, choker manik yang berkilauan dan anting-anting stud, menambahkan sedikit gaya glamor pada penampilannya.
foto dari gettyimages
3. Shannon Purser
Pelakon siri terkenal Stranger Things dan Riverdale, Shannon Purser, tampil memukau dengan gaun merahnya pada salah satu premier di Los Angeles, California. Gaun yang dihiasi dengan corak bunga mawar yang elegan, mencipta kesan yang mendalam. Shannon melengkapi penampilannya dengan cardigan crop renda merah yang menambahkan keanggunanya.
Dia juga memadankan look tersebut dengan pilihan kasut flat merah yang runcing memberikan kesan yang feminim. Walaupun gaya tersebut nampak bersahaja dan effortless, Shannon tetap kelihatan menawan dengan gaya solekan dan dandan rambut yang sesuai dengan penampilannya pada malam itu.
4. Nicola Coughlan
Terkenal dengan watak Lady Whistledown dalam siri popular Bridgerton, Nicola Coughlan, tampil memukau dalam gaun rekaan Wiederhoeft, hasil kolaborasi dengan jenama fesyen Tencel. Gaun tersebut, yang dihiasi dengan korset dan kristal kaca Swarovski digayakan oleh penata gaya, Aimée Croysdill dan dipadankan bersama perhiasan mewah dari Messika dan sepasang kasut elegan dari Malone Souliers.
Nicola menjelaskan inspirasi di sebalik pilihan busana ini, diilhamkan oleh wataknya dalam filem Barbie. Dia juga membuat penampilan dengan rambut merahnya, yang terinspirasi oleh warna rambut yang sama dalam filem tersebut.
foto dari gettyimages
5. Lizzo
Lizzo, terkenal dengan gaya yang selalu menarik perhatian, sekali lagi berjaya mencuri tumpuan, ketika dia menghadiri tayangan perdana konsert Beyoncé, Renaissance: A Film by Beyoncé. Dengan bantuan stylist berbakat, Reginald Reisman dan Matthew Riesman, Lizzo kelihatan anggun dalam busana ciptaan pereka fesyen Indonesia, Harry Halim. Busana tersebut, yang merupakan sebahagian daripada koleksi White Lies SS24 Harry Halim, menampilkan perincian ruffle serba putih.yang dramatik.
Penampilannya ditambah indah dengan solekan glam yang halus oleh Makeup Artist Alexx Mayo, serta gaya rambut lurus yang elegan, oleh pendandan rambut Davontae Washington. Penambahan beberapa perhiasan putih yang dipakai oleh Lizzo melengkapkan penampilannya, memancarkan kilauan yang menawan di malam hari.
Artikel Berkaitan: 7 Jenama Fesyen Lokal Bagi Wanita Curvy