‘We Beat As One’, menjadi tagline koleksi musim bunga Armani Exchange tahun ini. Figura muda dan popular Adam Lee, Eyka Farhana, Sean Lee dan Sweet Qismina bergembira di studio menggayakannya bersama EH!.
Rentak dan melodi menjadi perlambangan sempurna untuk menjelaskan inspirasi juga sinergi koleksi musim bunga 2023 Armani Exchange. Sebagai satu jenama yang menonjolkan gaya harian dan jalanan, hal versatiliti dan praktikaliti adalah hal yang mustahak dalam proses rekaan.
Armani Exchange musim ini mahu penggemarnya menyarung helaian yang amat selesa dan mengajak mereka bermain dengan warna-warna alam seperti coklat cair, kelabu dan putih. Memecahkan kesunyian warna yang bersifat selamat, jenama yang diasaskan pada tahun 1990-an ini memercikan warna-warna terang dalam palet neon pada tulisan namanya. Lakaran warna ini dapat dilihat pada jaket utiliti dan parka yang dihadirkan dalam koleksi ini.
Helaian yang disarungkan pada empat selebriti undangan EH! ini ratanya menonjolkan gaya yang amat santai dalam pesona stail sukan lebih-lebih lagi jika dilihat pada pemilihan fabrik seperti nilon. Material ini diabadikan pada jaket dengan hud, parka mahupun gaun pendek putih yang digayakan oleh Sweet Qismina. Adam Lee, Eyka Farhana dan Sean Lee kami sempurnakan penampilan mereka dengan jaket parka, ada yang lengkap dengan hud, ada juga yang tidak.
Satu yang menarik dalam suai padan musim bunga ini ialah gaya sniker Armani Exchange. Rata-rata yang berada di studio tertarik dengan snikernya dilihat sangat praktikal, ringan dan tidak mengenepikan hal stail. Walaupun secara pantasnya dilihat seperti sniker yang ada di pasaran namun jika diperhatikan ada elemen ‘stail’ diterapkan pada detilnya.
Koleksi musim bunga Armani Exchange ini sudah pun berada di butik Armani Exchange, dan jika mahu lihat lebih lanjut koleksi ini boleh klik pautan Armani Exchange ini.
BACA: Unik Atau Buruk? Ini 10 Gaya Kontroversi Selebriti Di Oscars