Jika ada satu frasa yang mampu menggambarkan gaya Zendaya sepanjang jelajah promosi The Odyssey, ia pastinya “dewi moden couture.”
Bersama penggaya imejnya, Law Roach, Zendaya menghidupkan watak Athena menerusi gaun beralun, rekaan berinspirasikan arca serta aksesori vintaj yang memberi sentuhan mitologi dalam setiap penampilan.
Daripada helaian vintaj sehinggalah gaun eksklusif Schiaparelli yang diterbangkan khas dari Paris ke London, setiap penampilannya membuktikan komitmen Zendaya terhadap seni method dressing. Menjelang tayangan The Odyssey pada 17 Julai, lihat koleksi gaya terbaik Zendaya sepanjang jelajah promosi filem ini.
Louis Vuitton

Pada tayangan perdana The Odyssey di Paris pada 8 Julai, Zendaya tampil memukau dalam gaun tempahan khas Louis Vuitton. Rekaan berpotongan cut-out itu diserlahkan dengan lengan beropol, perincian renda, belahan tinggi pada kaki serta layah panjang yang menambahkan elemen dramatik pada penampilannya.
Givenchy

Pada 7 Julai di Paris, Zendaya menggayakan gaun putih daripada koleksi Givenchy Haute Couture Musim Bunga 1997 hasil rekaan Alexander McQueen. Rekaan vintaj itu menampilkan bahu berstruktur, lengan dramatik yang melabuh hingga ke lengan bawah serta dipadankan dengan topeng emas rekaan Philip Treacy, aksesori ikonik yang turut menghiasi pentas peragaan asal dan mencipta padanan sempurna dengan latar Menara Eiffel.
Schiaparelli

Pada tayangan perdana dunia The Odyssey di London pada 6 Julai, Zendaya menyarungkan rekaan penutup pentas Schiaparelli Haute Couture Musim Luruh 2026 oleh Daniel Roseberry yang baru sahaja diperagakan di Paris pada hari yang sama. Gaun itu menampilkan bustier silikon beracuan dan skirt berkilauan yang mencipta ilusi seolah-olah bercahaya, menjadikannya bak arca moden. Zendaya melengkapkan penampilannya dengan barang kemas Chopard, kasut Christian Louboutin serta gaya rambut tocang panjang yang memberikan sentuhan fantasi.
Valentino

Untuk satu lagi penampilan di tayangan perdana The Odyssey di London, Zendaya memilih gaun Valentino Musim Luruh 2026 rekaan Alessandro Michele. Rekaan itu menampilkan bustier bermotif dedaunan yang dipadankan dengan skirt potongan high-low, menyerlahkan estetika romantis dengan sentuhan dramatik.
Trussardi
Menggayakan penampilan pertama sepanjang jelajah promosi The Odyssey, Zendaya memilih gaun Trussardi Musim Bunga 2006 yang tampil dengan siluet beralun, lipatan halus serta perincian tampalan bertatah yang menyerlahkan rekaannya. Penampilannya di London disempurnakan dengan sepasang tumit tinggi Christian Louboutin berhias batu permata yang memberikan sentuhan glamor.

