Bintang global K-pop, RM BTS kini wajah baharu kempen Musim Bunga/Musim Panas 2023, Bottega Veneta!
Tidak ada hairannya jika kali ini, nama RM BTS pula disebut sebagai duta baharu jenama mewah dari Itali. Sejak akhir-akhir ini, ahli dari kumpulan global K-Pop, BTS sering dilihat sedang rancak disuntik oleh pelbagai jenama rumah fesyen terkemuka.
Tular dengan kata kunci ‘RM X BOTTEGA VENETA’ di laman sosial Twitter, ketua daripada kumpulan BTS itu secara rasmi menjadi duta baharu jenama fesyen, Bottega Veneta.
Berita gembira ini pada mulanya dikongsi sendiri oleh Pengarah Kreatif jenama mewah itu, Matthieu Blazy. Melalui satu penghantaran Instagram dengan kapsyen, “ Andiamo! Welcome to the family @rkive”. Perkongsian ini mendapat kira-kira 19 ribu komen keterujaan daripada para peminat fesyen, dan juga peminat kumpulan global K-Pop BTS, ARMY!
Dalam perkongsian foto tersebut, RM dilihat sedang berdiri bersandar pada dinding, dengan menggayakan baju lengan panjang bercorak kotak. Turut dipadankan dengan gaya tidak berbutang, memperagakan baju putih di dalamnya bersama seluar jeans dari jenama mewah itu.
Melengkapkan kombinasi boyfriend look-nya, penyanyi rap dari kumpulan BTS ini turut memperagakan beg Andiamo, dalam warna hitam. Aksesori ini merupakan sebahagian daripada koleksi Musim Panas 2023, Bottega Veneta.
Terdahulu, telah menjadi spekulasi selama lebih sebulan tentang kolaborasi dua nama besar ini. Walaupun tiada yang disahkan secara rasmi pada masa itu, RM, atau nama sebenarnya Kim Nam Joon, sebelum ini sering dilihat tampil bergaya dengan memperagakan pakaian dari jenama rumah fesyen tersebut.
Tambah lagi, ahli dari kumpulan BTS ini telah menjadi antara tetamu VIP bagi acara fesyen Bottega Veneta di minggu fesyen Milan 2023. Sejak dari saat itu, Army telah membanjiri laman Twitter dengan tanda pagar ‘#RMxBottegaVeneta’, berkongsi rapat setiap kemas kini baharu dari selebriti kegemaran mereka ini.
Tiga bulan yang lalu, RM secara rasmi mengeluarkan album solonya yang baharu. Dalam satu persembahannya di laman YouTube, dia dilihat memperagakan koleksi pakaian dari jenama mewah Itali ini.
Beberapa hari yang lalu, turut menjadi tular dan trend di pelbagai aplikasi media sosial, apabila ahli termuda kumpulan global BTS, Jung Kook disuntik jenama rumah fesyen Calvin Klein. Secara rasmi, hampir kesemua ahli dari kumpulan K-Pop ini telah mendominasi pasaran fesyen ternama masa kini.
Artikel Berkaitan: Akhirnya, Jung Kook BTS Duta Global Calvin Klein!