Pelakon Korea Selatan, Go Youn-jung, kini mengukuhkan lagi pengaruhnya dalam dunia fesyen mewah apabila diumumkan sebagai duta terbaharu Tiffany & Co. pada 27 Ogos 2026. Pelantikan ini menyaksikan bintang Moving itu menjadi wajah baharu bagi jenama barang kemas antarabangsa tersebut, sekali gus membuka lembaran kerjasama menerusi pelbagai kempen dan aktiviti jenama pada masa akan datang.
Menerusi pelantikan tersebut, Go Youn-jung bakal mewakili beberapa koleksi ikonik Tiffany & Co., termasuk Tiffany Bird on a Rock dan Tiffany HardWear, selain rangkaian ciptaan high jewellery.
Pemilihannya dilihat seiring dengan imejnya yang moden dan sofistikated, sekali gus melengkapi identiti jenama yang cukup sinonim dengan warisan pertukangan barang kemas serta sentuhan kemewahan kontemporari.
Bersama pengumuman itu, Tiffany & Co. turut memperkenalkan potret rasmi yang menampilkan aktres berkenaan menggayakan perhiasan daripada jenama tersebut.

Menyatukan Warisan Klasik Dengan Sentuhan Moden
Antara koleksi yang menjadi tumpuan ialah Tiffany Bird on a Rock, rekaan ikonik yang menampilkan motif seekor burung hinggap di atas batu permata. Diperkenalkan menerusi imaginasi pereka legenda Jean Schlumberger, koleksi ini meraikan keindahan alam semula jadi melalui seni pertukangan dan penggunaan batu permata yang memukau.
Berbeza pula dengan Tiffany HardWear yang menampilkan estetika lebih berani menerusi motif pautan rantai. Diinspirasikan daripada gelang dalam arkib Tiffany & Co. tahun 1962, koleksi ini membawa karakter moden yang mencerminkan tenaga dan dinamisme New York.
Kedua-duanya memperlihatkan sisi berbeza identiti kreatif Tiffany & Co. daripada keanggunan rekaan high jewellery hinggalah perhiasan kontemporari yang lebih ekspresif.

Kempen Tiffany HardWear Tonjolkan Kekuatan Dalaman
Tidak lama selepas pengumuman pelantikannya, Tiffany & Co. memperkenalkan kempen Tiffany HardWear yang menampilkan Go Youn-jung pada 7 September 2026. Kempen ini mengetengahkan mesej tentang kekuatan dalaman, keyakinan diri serta keberanian seorang wanita untuk menentukan pilihan dan hala tuju kehidupannya sendiri.
Menerusi filem kempen dan potret rasmi, Go Youn-jung memperagakan rangkaian perhiasan Tiffany HardWear dalam emas rona ros, termasuk rantai leher, subang, gelang dan cincin. Penampilannya menyerlahkan karakter koleksi tersebut yang menggabungkan keanggunan dengan rekaan berstruktur dan berani.
Mesej kempen ini turut diterjemahkan menerusi identiti Tiffany HardWear yang meraikan kekuatan dan kebebasan individu. Dengan motif pautan rantai yang menjadi tanda pengenalnya, koleksi ini membawa tafsiran moden terhadap kekuatan wanita tanpa mengetepikan keanggunan.

Daripada Sweet Home Ke Pentas Antarabangsa
Bagi peminat drama Korea, Go Youn-jung bukanlah nama asing. Beliau mula meraih perhatian menerusi penampilannya dalam siri Sweet Home, sebelum mengembangkan portfolio lakonan menerusi naskhah popular seperti Alchemy of Souls, Moving dan Resident Playbook. Beliau turut membintangi filem Hunt serta drama romantik Can This Love Be Translated?.
Namanya semakin mendapat perhatian selepas membawakan watak Jang Hui-soo dalam siri Moving. Persembahan tersebut turut membawa pengiktirafan apabila beliau memenangi anugerah Pelakon Wanita Baharu Terbaik di Blue Dragon Series Awards 2024.
Kini, Go Youn-jung dijangka kembali menerusi musim kedua Moving, selain terlibat dalam filem aksi sejarah Nambeol. Perkembangan kerjayanya yang semakin rancak turut memperlihatkan pengaruhnya yang kian meluas, bukan sahaja dalam industri hiburan Korea Selatan, malah dalam dunia fesyen dan kecantikan.
Pelantikan sebagai duta Tiffany & Co. pastinya menjadi satu lagi pencapaian menarik buat Go Youn-jung. Dengan gabungan personaliti moden dan keanggunan tersendiri, kehadirannya dijangka membawa perspektif baharu kepada kempen jenama itu, khususnya dalam memperkenalkan warisan serta kreativiti Tiffany & Co. kepada generasi baharu.
Artikel Berkaitan: Beyoncé Memakai Rantai Berlian Paling Mahal Tiffany & Co



