Gucci kembali mencuri perhatian di Minggu Fesyen Milan menerusi koleksi Musim Bunga/Musim Panas 2027 (SS27) yang cukup istimewa.
Diberi judul “The Store Show”, koleksi ini dipersembahkan di Milan dengan ruang kedai Gucci sendiri dijadikan latar utama pertunjukan. Lebih menarik, koleksi ini menandakan kemunculan pertama Demna dalam memperlihatkan visi lengkapnya untuk Gucci.
Menerusi The Store Show, Demna menelusuri semula elemen-elemen yang telah membentuk identiti Gucci sejak sekian lama, daripada kemewahan, glamor dan sensualiti, hinggalah kepada sisi eksentrik yang menjadi antara ciri tersendiri rumah fesyen Itali ini.
Namun, Demna tidak sekadar mengimbas kembali nostalgia Gucci. Koleksi ini mempertemukan dunia yang berbeza dan bertentangan, keanggunan borjuasi dengan elemen provokatif, warisan aristokrat dengan budaya pop, serta Florence dan Hollywood.
Hasilnya, sebuah koleksi yang terasa berani, penuh kontras dan sarat dengan attitude, namun masih mengekalkan DNA ikonik Gucci.
Tidak lengkap rasanya runway Gucci tanpa barisan model yang mampu menghidupkan setiap helaian yang diperagakan. Antara yang mencuri perhatian ialah Anok Yai dan Alex Consani, yang tampil dengan runway walk penuh karakter dan keyakinan. Setiap langkah mereka cukup commanding, menambahkan lagi aura bold dan edgy yang dibawa oleh koleksi SS27.
Inspirasi turut kembali kepada akar sejarah rumah fesyen ini, khususnya suasana di The Savoy, London. Ketika bekerja di hotel tersebut, pengalaman Guccio Gucci berinteraksi dengan golongan aristokrat, artis dan pengembara menjadi antara pencetus inspirasi kepada dunia yang kemudiannya dikenali sebagai Gucci.












