Hailey Bieber sekali lagi membuktikan statusnya sebagai ikon fesyen generasi baharu apabila dipilih sebagai wajah utama kempen terbaru Miu Miu bagi koleksi Musim Luruh/Dingin 2026.
Turut membintangi kempen ini ialah model terkenal, Xiao Wen Ju, yang bersama-sama menghidupkan naratif visual penuh artistik hasil lensa jurugambar Zoe Ghertner.
Mengangkat konsep yang puitis dan sinematik, kempen ini membawa penonton ke dalam suasana malam yang misteri dengan latar cahaya kota yang samar, tekstur abstrak serta palet rona biru yang dingin. Setiap bingkai menggambarkan dunia yang seolah-olah berada di antara realiti dan fantasi, menjadikan koleksi terbaru Miu Miu tampil lebih dramatik dan mempesona.
Koleksi FW26 memberi penghormatan kepada sisi feminin yang kompleks, memperlihatkan gabungan kelembutan dan ketegasan dalam setiap rekaan. Material seperti kasmir, kulit, linen, tweed dan fabrik bertekstur lusuh digandingkan dengan sulaman tulle halus serta elemen inspirasi pakaian dalam, menghasilkan siluet yang romantik namun tetap berkarakter.
Untuk helaian luar, Miu Miu menampilkan sentuhan glamor berinspirasikan vintaj menerusi kot opera, jaket shearling bersaiz besar dan topi trapper yang memberikan impak gaya yang berani. Penampilan ini disempurnakan dengan aksesori ikonik jenama itu seperti beg tangan Vivant, Rendez-Vous dan Arcadie, selain kemunculan semula kasut Bubble yang pernah menjadi kegilaan sekitar era awal 2000-an. Pastinya berita ini mengujakan peminat setia Miu Miu yang merindui estetika Y2K.
Lebih daripada sekadar memperagakan koleksi musim baharu, kempen FW26 turut meraikan wanita moden yang yakin dengan identitinya. Menerusi gaya, ekspresi dan perincian setiap helaian, Miu Miu sekali lagi membuktikan bahawa fesyen bukan sekadar tentang pakaian, tetapi juga satu bentuk ekspresi diri yang penuh keyakinan dan karakter.
Baca: Rekaan Viral Matières Fécales, Antaranya Disarung Zendaya dan Gabbriette








