Kelestarian fesyen bukan satu agenda baharu lagi. Setakat ini, telah banyak jenama fesyen yang menawarkan koleksi bertema lestari. H&M tegar mempergiatkan usaha dalam mengukuhkan kelestarian fesyen melalui koleksi-koleksi yang dipersembahkannya, termasuklah yang terkini H&M Summer 2021. Perkembangan baru dalam industri fesyen telah membantu H&M untuk menggunakan sumber organik, lantas bereksperimen dengan inovasi baru bagi meningkatkan mutu produk yang bakal dilancarkan.
H&M Summer 2021 melancarkan helaian yang menepati saranan kelestarian alam sekitar dengan menitikberatkan impak penggunaan tenaga. Serta menggunakan sumber bahan yang dikitar semula. Terbukti, H&M mengekalkan matlamat kelestarian dalam penghasilan produk, yang mana mengutamakan pemuliharaan tenaga dan air dalam setiap aktivitinya. Justeru itu, koleksi H&M musim panas menawarkan variasi rekaan yang mencadangkan pemakaiannya kala canda musim panas, mahupun sekadar digayakan saat bersiar di kota.
H&M Summer 2021 memfokuskan kepada rekaan baju mandi dalam beberapa stail tertentu, namun menepati semua saiz dan bentuk tubuh wanita. Warna yang ditawarkan adalah yang asas-asas sahaja, namun kualiti terjamin kerana ia dihasilakn daripada fabrik bersumber secara lestari. Tidak bertumpu pada keselesaan semata, malah menarik jika dipadankan sebagai stail kembara yang stylish.
Menurut H&M lagi, tujuan konsep lestari dihasilkan pada rekaan baju mandi adalah untuk merangsang mood serta keyakinan para wanita saat menyarungnya, sama ada untuk aktiviti air mahupun dijadikan helaian utama pabila bersiar-siar di kawasan pantai. Kerana apa, fabrik yang digunakaan selesa untuk dipakai, malah keringkasan stail yang memaut memberi opsyen gaya yang beragam.
Helaian yang terkandung bertumpu kepada penampilan yang chic, bold serta meraikan positif tubuh wanita. Baju renang, bikini, dress floral dan rekaan yang lain direka bersiluet yang pelbagai, sempurna untuk dipakai oleh semua bentuk tubuh. Potongan dan fitnya telah dipastikan untuk semua golongan.
Helaian asas yang lain seperti coli sukan, seluar dalam sukan dan top tanpa lengan dihasilkan dari bahan-bahan kitar semula seperti poliester dan botol.
Rekaan yang bersifat ringan dan praktikal, tak dinafikan lagi sewajarnya dipakai kala mengharungi cuaca terik musim panas. Dan tak salahnya juga, untuk dipakai sewaktu bekerja dari rumah atau menghadiri mesyuarat secara online, dek pandemik yang masih berlanjutan. H&M Summer 2021 sudah berada di seleksi stor H&M dan atas talian.
#HMSummer 2021
Artikel berkaitan: Koleksi FENDI FF Vertigo, Stail Sempurna Sambut Musim Panas