Lisa Blackpink menghiasi kempen terbaru Bvlgari beriringan sama dengan wajah popular lain seperti Zendaya dan dua model ternama Vittoria dan Lily Aldrige.
Satu persatu anggota Blackpink menjadi taruhan jenama antarabangsa dalam menunjangi kempen mereka. Tarikan dan populariti keempat-empat mereka mencetus fenomena. Terkini, seperti yang dihebahkan penghujung bulan lalu, Lisa Blackpink menjadi penghias kempen terbaru Bvlgari, yang mana kempen tersebut dinamakan sebagai Magnifica.
Bertemakan ‘Mimpi’ kempen tersebut menampilkan Lisa dengan penggayaan aksesori mewah dari himpunan Bvlgari B.zero1. Tampil dalam balutan busana hitam dengan rambut potongan bob, Lisa menyerlahkan imej eklektik, nadi dan DNA B.zero1 yang sememangnya kental sebagai satu himpunan yang bold dan bersifat uniseks.
Lalisa Manoban yang berasal dari Thailand menjadi satu-satunya wajah Asia yang diabadikan di dalam kempen yang utuh menonjolkan elemen dan pengaruh Rom dalam latar belakang fotografi kempen ini. Bvlgari menyifatkan Lisa sebagai seorang penghibur yang bold dan unik, dan karakternya itu dilihat seiring dengan identiti glamor dan eklektik Bvlgari.
Mengimbas kembali detik kelahiran B.zero1 pada tahun 1999, Bvlgari asalnya terinspirasi daripada senibina agung Rom, Colosseum dan dikahwinkan dengan pengaruh industrial yang akhirnya mencetus idea bersifat klasik namun tidak konvensional. Dan semenjak itu B.zero1 menjalani pelbagai transformasi hinggalah munculnya himpunan B.zero1 Rock tahun lalu.
B.zero1 Rock menyuntik elemen yang lebih ranggi dan berani sekaligus memberi intepretasi baharu kepada koleksi ini. Nilai himpunan ini dinaik taraf dengan pilihan nan pelbagai termasuk penggunaan emas putih 18 karat dan juga tatahan batu mewah.
Selain Lisa, aktres terkenal Hollywood, Zendaya turut dirakamkan menggayakan himpunan B.zero1 menerusi kempen yang dirakamkan oleh jurugambar kelahiran Sepanyol, Txema Yeste.
Dalam perkhabaran yang lain pula, YG entertainment mengesahkan bahawa Lisa akan muncul dengan lagu solonya tidak lama lagi. Menurut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Lisa akan merakamkan video muziknya dalam minggu ini dan ia akan dilancarkan dalam musim panas ini juga. Lisa menjadi anggota Blackpink ketiga yang muncul dengan lagu solo selepas Jennie yang memulakan langkah terlebih dahulu tahun lalu. Mac lalu pula menyaksikan Rosé dengan album single ‘R’. Bulan hadapan pula filem Blackpink, 4+1 Project akan ditayangkan sempena ulang tahun mereka yang kelima.
Artikel Berkaitan: Dalam Diam Jennie Blackpink Dan G-Dragon Sedang Hangat Bercinta?