Tanggal 16 September ini, gerabak pengangkutan awam sekali lagi bakal berubah menjadi antara ‘runway’ paling berwarna-warni di Malaysia. Keretapi Sarong 2026 kembali bersempena Hari Malaysia dan tahun ini terasa lebih istimewa kerana menandakan edisi ke-10 acara anjuran LOCCO tersebut.
Bermula daripada sebuah pertemuan kecil, Keretapi Sarong kini berkembang menjadi acara budaya yang menemukan rakyat Malaysia menerusi muzik, tarian, busana dan tentunya sarong. Konsepnya juga masih cukup unik peserta berkumpul di stesen yang ditetapkan dengan mengenakan sarong atau busana bercita rasa tempatan sebelum bergerak bersama menuju ke lokasi rahsia yang hanya didedahkan pada hari acara.
Namun, Keretapi Sarong bukanlah pertandingan siapa paling ‘tradisional’. Semangatnya adalah tentang meraikan budaya, identiti dan kebersamaan rakyat Malaysia, jadi tiada satu formula khusus tentang bagaimana sarong sepatutnya digayakan. Mahu tampil klasik dengan kebaya boleh, mahu padankan batik dengan sneakers pun boleh.
Jadi, jangan sekadar lilit sarong dan terus keluar rumah. Anggap sahaja acara Keretapi Sarong ini sebagai peluang untuk menyelongkar almari sendiri, pinjam kebaya ibu atau kain pelikat ayah, kemudian beri semuanya nafas baharu menerusi gaya yang lebih moden dan dekat dengan personaliti anda.
1. Kebaya + Sarong
Kebaya dan sarong memang pasangan sempurna. Namun, ia tidak semestinya perlu kelihatan terlalu formal. Pilih kebaya pendek seperti kebaya Nyonya atau potongan yang lebih santai, kemudian padankan dengan kain batik bercorak terang. Selepas itu, biarkan aksesori memainkan peranan. Beg bahu kecil, kaca mata hitam, anting-anting statement atau ballet flats sudah cukup untuk membawa kebaya keluar daripada zon majlis rasmi. Atau boleh sarungkan sneakers kegemaran anda. Selain memberi sentuhan lebih moden, kaki juga pasti berterima kasih selepas seharian berjalan dan bertukar stesen.

2. T-Shirt Putih + Kain Batik
Untuk anda yang mahu kelihatan effortless, keluarkan sahaja plain white tee daripada almari dan padankan dengan kain batik yang mempunyai warna atau corak lebih menonjol. Walaupun simple, gaya ini boleh membuatkan look anda nampak menarik dan effortless. Cuba tuck-in T-shirt, tambah tali pinggang dan lengkapkan dengan beg rotan, tote bag atau aksesori berwarna. Simple, selesa dan masih mempunyai karakter yang cukup kuat untuk mencuri perhatian dalam lautan warna Keretapi Sarong nanti.

3. Kemeja Oversized + Sarong
Siapa kata sarong hanya serasi dengan baju tradisional? Kemeja oversized juga boleh memberikan keseluruhan penampilan rasa yang lebih cool dan santai. Pilih kemeja putih, denim atau rona yang mengambil salah satu warna daripada corak sarong anda supaya semuanya kelihatan lebih serasi. Anda boleh membiarkan kemeja terbuka dengan inner di dalam, mengikatnya pada bahagian pinggang atau sekadar tuck sebelah untuk mendapatkan siluet yang lebih santai. Untuk kasut pula, sneakers, loafers, Mary Jane atau mungkin sepasang boots boleh mengubah terus gaya penampilan anda.

4. Batik on Batik
Kalau sudah ke Keretapi Sarong, apa salahnya all out. Padankan sarong batik dengan top batik corak berbeza dan jangan takut dengan clashing prints. Kadangkala, pertembungan corak itulah yang membuatkan sesuatu penampilan terasa lebih hidup dan playful. Triknya adalah mencari sekurang-kurangnya satu warna yang menghubungkan kedua-dua corak. Contohnya, jika sarong mempunyai sedikit rona merah, pilih top batik yang turut mempunyai sentuhan rona sama.

5. Baju Kurung
Jika anda tak sempat beli outfit baharu, baju kurung yang sudah tersedia dalam almari juga boleh menjadi penyelamat. Daripada memakai satu set lengkap, cuba mix and match bahagian atas baju kurung dengan sarong atau kain batik daripada set lain. Kurung Kedah khususnya sesuai untuk acara seperti ini kerana potongannya yang lebih santai dan mudah untuk bergerak. Padankan dengan sarong bercorak kontras, beg silang dan sneakers untuk menjadikannya terasa lebih kasual. Lebih menarik kalau berjaya‘selongkar baju kurung lama milik ibu atau nenek.

6. Sarong Over Jeans
Untuk mereka yang mahu tampil sedikit lebih eksperimental. Daripada memakai sarong secara konvensional, jadikannya sebagai layer di atas jeans, seluar putih atau wide-leg pants. Tidak perlu melilitnya sepenuhnya, gaya separuh sarong atau asymmetric wrap sudah cukup untuk mengubah kain tradisional menjadi sebuah fashion piece kontemporari. Disebabkan bahagian bawah sudah mempunyai banyak elemen, kekalkan bahagian atas lebih ringkas dengan plain tshirt atau kemeja polos. Tambah aksesori chunky dan sneakers, kemudian biarkan sarong menjadi tumpuan utama.

7. Kebaya + Jeans
Kalau anda memang bukan skirt person, ini mungkin gaya paling mudah untuk dicuba. Padankan kebaya dengan jeans kegemaran anda untuk memberikan busana tradisional itu rasa yang lebih kasual. Sarong pula boleh dijadikan sebagai selendang, ikatan di pinggang atau elemen layering untuk mengekalkan semangat Keretapi Sarong. Tidak perlu terlalu memikirkan sama ada kebaya sesuai dengan jeans atau kain batik boleh dipakai bersama sneakers. Pakai apa yang membuatkan anda selesa, beri sentuhan personal dan biarkan warisan Malaysia bergerak bersama gaya generasi hari ini.

Artikel Berkaitan: Sarong On, Malaysia On! Kereta Api Sarong 2026 Kembali
