Victoria’s Secret Fashion Show 2026 bukan sekadar menampilkan koleksi lingerie dan kemunculan model di runway. Persembahan muzik turut menjadi antara tarikan utama apabila KATSEYE, Tate McRae, Megan Moroney dan Megan Thee Stallion mengambil alih pentas dengan identiti muzik masing-masing.
Daripada persembahan pop yang bertenaga hingga ke penutup penuh dramatik, setiap artis membawa sesuatu yang berbeza kepada pertunjukan tahun ini. Jom lihat momen persembahan mereka!
KATSEYE

Kumpulan global KATSEYE membawa tenaga pop ke segmen PINK menerusi dua lagu mereka, Pinky Up dan Animal.
Persembahan ini menampilkan empat ahli, iaitu Daniela Avanzini, Lara Raj, Megan Skiendiel dan Yoonchae Jeong. Sophia Laforteza dan Manon Bannerman pula tidak mengambil bahagian kerana sedang menjalani hiatus.
Pemilihan KATSEYE sesuai dengan suasana segmen PINK yang lebih youthful dan comel. Dengan persembahan berkumpulan serta identiti pop mereka, kemunculan ini turut menandakan satu lagi pencapaian buat KATSEYE apabila mereka membuat debut di pentas Victoria’s Secret Fashion Show.
Tate McRae

Tate McRae membawa persembahan yang penuh tenaga dengan gabungan vokal dan koreografi. Penyanyi itu membuat debut persembahan langsung single terbaharunya, Housewife, sebelum meneruskan setlist dengan Dear God dan Sports Car.
Diiringi lebih daripada 10 penari latar, Tate menampilkan koreografi yang tajam dan bertenaga sepanjang persembahannya. Dia kemudian tampil solo untuk memperkenalkan Gigi Hadid serta kumpulan model yang menyusul di runway.
Dengan latar belakangnya sebagai penari, Tate berjaya menggabungkan elemen muzik dan pergerakan dalam satu persembahan yang sesuai dengan skala pertunjukan tersebut.
Megan Moroney

Megan Moroney pula membawa sentuhan country-pop ke pentas Victoria’s Secret Fashion Show 2026. Berbeza daripada persembahan berteraskan pop dan hip-hop, muzik Megan memberikan variasi kepada keseluruhan lineup tahun ini.
Dia membawakan tiga lagu daripada albumnya, Cloud 9, iaitu 6 Months Later, Wish I Didn’t dan Sorry… I Meant Tonight.
Kehadiran Megan turut memperlihatkan bagaimana Victoria’s Secret menggabungkan genre muzik yang berbeza dalam satu pertunjukan. Elemen country-pop yang dibawanya memberikan warna tersendiri kepada runway yang sinonim dengan persembahan pop berskala besar.
Megan Thee Stallion

Megan Thee Stallion menutup Victoria’s Secret Fashion Show 2026 dengan persembahan lagu Her dan Body.
Rapper itu membawa tenaga hip-hop ke runway menerusi persembahan yang penuh keyakinan. Namun, momen paling istimewa ialah apabila dia tampil memakai sepasang sayap angel perak custom, sekali gus merealisasikan impian kerjaya yang pernah dinyatakannya.
Kemunculan tersebut menjadikan persembahan Megan lebih daripada sekadar penutup acara. Ia turut menjadi detik penting buat dirinya sebagai artis yang akhirnya berpeluang memakai sayap ikonik Victoria’s Secret.
Empat Persembahan, Satu Pentas Ikonik
Daripada KATSEYE yang membawa pop ke segmen PINK hingga Tate McRae dengan koreografi bertenaga, Megan Moroney dengan pengaruh country-pop dan Megan Thee Stallion yang menutup acara dengan hip-hop, setiap artis memberikan identiti tersendiri kepada pertunjukan tahun ini.
Gabungan genre muzik ini turut mengingatkan kita bahawa Victoria’s Secret Fashion Show bukan sekadar tentang fesyen. Persembahan muzik juga memainkan peranan penting dalam membentuk suasana dan menjadikan setiap edisi mempunyai momen tersendiri.
Jadi, persembahan artis manakah yang paling mencuri perhatian anda di Victoria’s Secret Fashion Show 2026?
Artikel Berkaitan: The Angels Are Back! Ini Model Yang Confirm Sertai Victoria’s Secret Fashion Show 2026
