Sejak kebelakangan ini, nama Erling Haaland semakin kerap menjadi perhatian di TikTok bukan sahaja kerana aksi luar biasanya menjaringkan gol di atas padang, tetapi juga kerana gaya fesyennya yang semakin menyerlah. Bintang Manchester City F.C. dan Norway ini mencuri perhatian dunia fesyen apabila memiliki koleksi Hermès yang setiap satunya merupakan model eksklusif yang sukar diperoleh walaupun pelanggan VIP Hermès sendiri.
Koleksi Hermès Haaland tidak seperti kebanyakan selebriti lain yang sering mengumpul model Birkin atau Kelly, dia lebih tertarik dengan siri Haut à Courroies (HAC) iaitu model ikonik Hermès yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 1892 sebagai beg untuk membawa pelana dan kelengkapan menunggang kuda. Dengan ketinggian 195 sentimeter, saiz HAC yang lebih besar sememangnya sepadan dengan fizikal dan gaya peribadinya. Kini, koleksi Hermès miliknya dianggarkan bernilai lebih USD317,000 atau sekitar RM1.35 juta di pasaran resale.
Kebanyakan beg miliknya juga merupakan model edisi terhad yang sukar ditemui dan hanya muncul melalui rumah lelongan eksklusif atau pasaran resale dengan nilai yang boleh mencecah ratusan ribu ringgit. Tidak hairanlah ramai peminat fesyen melihat Haaland bukan sekadar atlet bertaraf dunia, tetapi juga antara pemain bola sepak dengan koleksi Hermès paling mengagumkan.
1. Hermès HAC 50 Endless Road”
Ini merupakan antara beg paling ikonik dalam koleksi Haaland. Model edisi terhad ini dihasilkan menggunakan teknik leather marquetry, iaitu gabungan beberapa kepingan kulit yang membentuk ilustrasi jalan raya seolah-olah memanjang ke ufuk. Rekaan artistiknya diinspirasikan daripada karya pelukis terkenal, David Hockney, menjadikannya antara model HAC paling dicari collector Hermès. Malah beberapa laporan menyatakan dua unit model ini berada dalam koleksinya. Nilai resale sebuah HAC 50 Endless Road kini melebihi USD45,500 sekitar RM193,000.

2. Hermès HAC 50 Endless Road
Haaland dilaporkan memiliki lebih daripada satu HAC 50 Endless Road dalam koleksinya. Jika sebelum ini dia pernah dilihat membawa versi berwarna putih atau rona cerah, pemain bola sepak Norway itu sekali lagi menarik perhatian apabila tampil dengan versi berwarna biru yang memberikan aura lebih klasik dan maskulin. Model berwarna biru ini dikenali sebagai Bleu de Prusse Togo Leather “Endless Road” HAC Birkin 50 dengan kemasan perkakasan palladium hardware, antara variasi yang sangat jarang ditemui di pasaran.

3. Hermès Cargo Birkin Black 50
Jika Endless Road tampil lebih artistik, Cargo Birkin pula tampil lebih lasak dengan rekaan poket tambahan, tali serta struktur yang diinspirasikan daripada gaya military gear, menjadikannya antara model Hermès paling sukar ditemui. Versi yang dimiliki Haaland hadir dalam warna Black (Noir) yang memberikan penampilan lebih maskulin. Pembuatannya juga sangat rumit menjadikan jumlah pengeluarannya sangat terhad.

4. Hermès HAC Multipocket 50
Salah satu koleksi paling viral milik Haaland adalah HAC Multipocket. Berbeza dengan HAC biasa, model ini mempunyai beberapa poket luaran yang diinspirasikan daripada beg utiliti, menjadikannya lebih praktikal. Di pasaran resale, model ini boleh mencecah sekitar USD69,500 atau lebih RM295,000, sekali gus menjadi antara beg paling mahal dalam koleksi Haaland.

5. Hermès HAC Cargo 40 Evercalf Toile
Cargo HAC merupakan interpretasi moden terhadap beg travel klasik Hermès. Ia menggabungkan kulit Evercalf dengan fabrik Toile Canvas serta dilengkapi beberapa poket luaran yang memberikan fungsi tambahan. Gabungan material kulit dan kanvas menjadikannya lebih ringan berbanding HAC biasa, namun tetap mengekalkan identiti mewah Hermès. Model ini dianggarkan bernilai sekitar USD50,000 lebih RM212,000 di pasaran resale.

6. Hermès HAC Casaque 40
HAC Casaque mudah dikenali menerusi kombinasi dua tona warna yang berani. Haaland dilihat memiliki versi hitam dan oren yang menyerlahkan konsep colour blocking. Model ini sangat jarang dihasilkan dan pernah dijual di pasaran pada harga sekitar USD33,000 atau sekitar RM140,000.

7. Hermès Kelly Dépêches
Tidak semua koleksi Haaland bersaiz besar. Kelly Dépêches adalah briefcase mewah yang diinspirasikan daripada beg Kelly ikonik. Dengan pemegang tunggal dan siluet yang lebih nipis, ia sering digayakan sebagai clutch oleh Haaland ketika menghadiri acara rasmi. Walaupun lebih mudah diperoleh berbanding HAC edisi terhad, Kelly Dépêches masih dijual pada harga sekitar USD11,100 atau lebih RM47,000) di butik Hermès.

8. Hermès Maxi Kelly Togo
Maxi Kelly merupakan versi lebih besar kepada Kelly klasik. Diperbuat daripada kulit Togo yang terkenal dengan tekstur lembut tetapi tahan lasak, model ini menggabungkan rekaan elegan dengan kapasiti penyimpanan yang lebih praktikal. Pilihan ini melengkapkan koleksi Haaland yang jelas cenderung kepada beg bersaiz besar, berbeza daripada trend mini bag yang sering menjadi pilihan selebriti lain.

Artikel Berkaitan: Selamat Tinggal, Legenda: Bintang Bola Sepak Yang Bersara Selepas FIFA World Cup 2026
