Karpet merah tayangan perdana Wednesday menjadi medan gaya, apabila barisan pelakonnya tampil memukau dengan penampilan yang benar-benar menghidupkan watak mereka.
Karpet merah tayangan perdana Wednesday bertukar menjadi pentas fesyen yang penuh misteri dan memukau. Setiap langkah bintang utamanya bagaikan bab baharu dalam dunia Addams, dengan gaya yang menggabungkan keanggunan haute couture dan aura gelap yang ikonik. Dari gaun yang sarat dengan perincian dramatik hingga sut berpotongan tajam, barisan pelakon ini membuktikan bahawa mereka bukan sekadar membawakan watak tapi mereka menghidupkannya.
Jenna Ortega benar-benar menyelami wataknya, memancarkan aura menghantui yang memikat di tayangan perdana tersebut. Beliau mengenakan gaun bercetak kulit ular separa jarang daripada koleksi couture Ashi Studio Musim Luruh 2025, satu pilihan yang memadukan keanggunan dengan sentuhan eksentrik.
Korset lateksnya berpadu sempurna dengan bahagian atas berleher tinggi, skirt potongan duyung yang mengalun, serta kelim yang dibiarkan tidak sempurna menyerupai ular di saat pertukaran kulit, mencipta imej yang sensual namun misteri..
Saya terpikat dengan gabungan mood era Victoria dan sentuhan pemberontakan ala Vivienne Westwood dalam gaun ungu tua ini. Perincian ropol yang dramatik berpadu dengan panel korset beige berkontras, ciri klasik rumah fesyen Vivienne Westwood yang tidak pernah gagal mencuri perhatian.
Korset itu bukan sekadar membentuk struktur yang tegas, malah menyuntik elemen drama bersejarah, sementara tali pinggang yang diketatkan menambah aura romantik yang misterius pada keseluruhan siluet.
Emma Myers
Dengan siri seperti Wednesday, karpet merahnya hampir pasti dibanjiri rona hitam — dan ternyata tekaan itu tepat. Namun, Emma tampil berani menentang arus, memilih gaun fuchsia berkorset dengan perincian renda daripada koleksi McQueen Musim Luruh 2025.
Asalnya diperagakan di pentas fesyen dalam rona hitam, transformasi warna ini serta-merta menyuntik nafas baharu, menjadikan penampilannya lebih ringan, segar, dan penuh kejutan untuk acara sebesar ini.
Joy Sunday
Joy Sunday mencuri perhatian di tayangan perdana Wednesday Netflix dengan gaun rajutan kabel merah ceri rekaan McQueen, digayakan oleh Darryl Glover, pilihan berani yang meraikan dunia fantasi siri itu.
Simpulan rajutan rapi dan lengan panjang memberi sentuhan elegan, sementara stoking renda bunga, but bertali tinggi, dan topi merah berhias rumbai melengkapkan penampilan dari koleksi Musim Luruh/Sejuk 2025 yang penuh karakter.
Isaac Ordonez
Bagi Isaac Ordonez, visinya jelas dan berani. Sut jalur blok army rekaan Landeros New York, digayakan dengan kemeja kulit, tali leher, barang kemas, dan solekan mata dramatik, memberi sentuhan unik berinspirasikan Beetlejuice. Potongan seluar berbelah menambah elemen moden yang membezakan penampilannya, sekali gus membuktikan keberaniannya bereksperimen dan mencipta momen segar di karpet merah.
Zeta-Jones, yang membawakan watak ibu kepada Jenna Ortega di layar, mempesona dengan gaya klasik Morticia Addams. Beliau menyarung gaun hitam dramatik Stéphane Rolland Haute Couture dengan potongan halter keyhole, ruffle yang mengalir anggun, serta belahan tinggi di paha, kombinasi sempurna antara keanggunan dan aura gothic yang ikonik.
Billie Piper tiba memukau di karpet merah dalam gaun hitam berpotongan badan berinspirasikan Morticia Addams. Rekaan itu menampilkan garis leher potongan terbuka yang diikat kemas dengan tali, mencipta keseimbangan antara sensualiti dan keanggunan.
Sentuhan ini memberikan aura misteri yang memikat, seakan menghidupkan semula ikon gothic itu dalam nuansa moden.
Baca: ‘Wednesday’ Musim Kedua Tampil Lebih Menyeramkan, Ini Fakta Anda Perlu Tahu!