Karya seni pop artis tersohor Amerika, Tom Wesselmann diserap jiwanya ke dalam satu himpunan istimewa Coach, menemui anda 7 Julai ini.
Keseronokan dalam hidup itu datang dalam pelbagai bentuk dan cara, dan itu yang menjadi tunjang kepada ilham seni artis legenda Amerika Syarikat, Tom Wesselmann atau nama penuhnya Thomas K. Wesselmann. “Seninya sangat ‘dalam’, keanak-anakan dan sangat gembira hidupnya sebagai seorang artis,” itu yang Wesslemann huraikan tentang keperibadian seninya.
Menyelusuri karya seninya, Wesselmann terinspirasi dengan elemen yang menyeronokan di sekelilingnya, biar sekecil-kecil benda, jika itu yang dilihat sebagai membahagiakan, dia cuba selitkannya dalam karya seninya.
Stuart Vevers, pengarah seni Coach menghidupkan rasa seronok itu dengan menggabungkan jiwa bebas Coach bersama-sama karya seni Tom Wesselmann. “Koleksi Coach x Tom Wesselmann adalah untuk meraikan dunia sebagai sumber penghubung kepada rasa optimis,” kongsi Stuart. Stuart menyempurnakan koleksi ini dengan bekerja rapat dan berdiskusi dengan ahli keluarga terdekat Tom sendiri selain menyelami dan memahami setiap hasil karya seni Tom.
Koleksi ini dilancarkan sempena kedatangan musim panas 2022, satu inisiatif memperkenalkan artis legenda ini kepada generasi baharu. Karya ikonik Wesselmann seperti lukisan bibir diraikan sebaiknya pada rekaan tas tangan, beg galas, baju-t, jaket dan juga kasut. Potongan bibir melapisi permukaan monogram Coach misalnya, baik pada beg juga kasut but.
Kempen koleksi ini dirakamkan oleh jurugambar yang sedang mendapat perhatian kelompok fesyen, Juergen Teller. Elemen positiviti yang cuba ditnojolkan cukup hidup menerusi kempen ini.
Menyemarakan lagi kempen koleksi ini, Coach turut menggandakan lagi pengalaman anda secara maya menerusi filter di media sosial yang mengetengahkan motif seni Tom Wesselmann, juga ada ‘EduToks’ yang mana satu program eksklusif di TikTok yang membawa anda mendekati karya seni artis legenda ini. Kesemua pengalaman digital ini boleh dinikmati di pautan ini thepleasurepursuit.com
Koleksi istimewa ini mula dijual pada 7 Julai 2022 di butik Coach, Pavilion Kuala Lumpur dan juga di The Gardens. Koleksi ini juga boleh dibeli secara dalam talian di SINI!
KENALI TOM WESSELMANN
Thomas K. Wesselmann lahir pada 23 Februari 1931 di Cincinnati, Ohio. Dia asalnya menyambung pengajian dalam jurusan psikologi di University of Cincinnati. Pada tahun 1952 dia diserap ke dalam angkatan tentrera Amerika dan pada waktu itulah dia myula melukis kartun. Selepas dia tamat pengajian pada tahun 1954 dia mula menyambung pengajian dalam bidang seni lukis secara rasmi di Art Academy of Cincinnati. Karyanya dibeli oleh majalah 1000 Jokes dan True. Kemudian Thomas menyambung pengajian di New York. Minatnya melukis kartun dikembangkan kepada cabang seni lain termasuklah menghasilkan arca dan kolaj.
Wesselmann antara artis seni pop yang diangkat di Amerika. Great American Nude menjadi siri seninya yang sangat signifikan. Dia memperkenalkan siri seni itu pada tahun 1961 lantas meletakkan dia antara artis barisan hadapan di Amerika Syarikat.
Wesselmann meninggal dunia pada 17 Disember 2004. Dia memiliki dua anak perempuan dan seorang anak lelaki hasil perkahwinannya dengan teman sekolej, Claire Selley yang dikahwininya pada tahun 1963.