Uzair Shoid, satu nama yang kian menyerlah dalam dunia fesyen tanah air. Dikenali sebagai seorang pereka yang amat mementingkan perincian dalam setiap helaian rekaannya, Uzair membawa pendekatan yang halus, teliti dan penuh makna dalam setiap sentuhan kreatifnya.
Sejak di bangku pengajian lagi, Uzair telah menunjukkan potensi luar biasa. Dia bukan sahaja mahir dari sudut teknikal, malah kaya dengan ekspresi dan emosi dalam setiap rekaan yang dihasilkan. Setiap warna yang dipilih tampak berani dan pelbagai, namun harmoni menyatu sempurna dalam satu naratif visual yang memukau. Gaya rekaannya menggambarkan keaslian, keberanian, dan ketekunan luar biasa dalam memperincikan setiap elemen kecil sekalipun.
Apa yang benar-benar membezakan Uzair daripada pereka muda lain ialah keberaniannya. Keberanian untuk mencuba yang baharu, keberanian untuk melawan arus dan keberanian untuk menjadi dirinya sendiri sepenuhnya dalam setiap rekaan. Terus terang, saya belum pernah melihat pereka baharu lain yang tampil dengan keberanian dan keunikan seperti Uzair.
Dan yang paling penting, saya benar-benar tidak sabar untuk menyaksikan koleksi Uzair Shoid diperagakan di pentas Kuala Lumpur Fashion Week. Sudah tentu, ia bakal menjadi salah satu persembahan yang paling dinanti-nantikan tahun ini.
Bagaimana anda akan menggambarkan gaya signature rekaan anda?
Saya sangat menitikberatkan unsur warisan dalam naratif fesyen kontemporari. Rekaan saya menghidupkan semula seni kraftangan tradisional, dengan mentafsir semula elemen budaya dalam bentuk moden yang boleh digayakan. Di tengah-tengah setiap rekaan saya ialah kecintaan terhadap perincian — hiasan yang rumit, tekstur, dan ornamen yang bercerita dan mencetuskan perbualan. Bagi saya, fesyen bukan sekadar apa yang kita pakai, tetapi juga sejarah, emosi dan identiti yang dibawanya. Setiap helaian adalah dialog “playful” antara yang lama dan baru — meraikan kekayaan masa lalu sambil berpakaian untuk masa depan.
Pada pendapat anda, apa yang paling diperlukan oleh industri fesyen sekarang?
Sejujurnya? Saya rasa industri fesyen Malaysia perlukan lebih banyak keberanian, lebih banyak sifat memberontak, dan jauh lebih banyak jiwa. Kita ada warisan budaya yang sangat kaya dan berwarna-warni, dan saya mahu lihat lebih ramai pereka berani mencabar batas, gabungkan yang lama dengan yang baru, serta peluk budaya dalam cara yang jujur, eksperimental, dan mencerminkan zaman kita. Kita perlukan lebih banyak platform untuk jenama kecil yang berteraskan kraf dan budaya. Kurangkan selamat. Lebihkan berani.
Sebagai pereka bebas, apakah cabaran terbesar dalam membangunkan jenama anda?
Sejujurnya, cabaran terbesar ialah aspek perniagaan. Ramai yang hanya nampak baju cantik, pertunjukan fesyen dan kempen – tapi di sebaliknya, untuk menjalankan jenama memerlukan kestabilan kewangan sebenar. Terutamanya untuk jenama baru dan bebas seperti saya, anda perlukan dana bukan sahaja untuk pengeluaran, tetapi juga pemasaran, pengambilan staf, kolaborasi, dan kadang-kadang untuk terus bernafas sambil kejar idea. Fesyen memang seni — tetapi ia juga perniagaan.
Satu lagi cabaran ialah hubungan. Industri ini sangat bergantung pada siapa yang anda kenal dan peluang yang lahir dari hubungan yang ikhlas. Saya akui, saya seorang yang agak pemalu bila masuk bab networking. Saya bukan yang paling lantang dalam bilik, dan kadang-kadang perlukan keberanian untuk saya capai orang dan bina jambatan. Tapi saya sedang belajar bahawa ia sangat penting — kerana pertumbuhan bukan sekadar rekaan yang bagus, tapi juga tentang siapa yang percaya pada visi anda dan sanggup bantu anda teruskan.
Muzik atau playlist semasa bekerja dengan rekaan?
Ikut mood saya, sebenarnya. Kadang-kadang saya dengar Lana Del Rey bila rasa nostalgia atau sedikit dramatik, kadang Nadin Amizah bila mahukan sesuatu yang lembut dan puitis. Bila rasa nak ceria atau playful, saya pilih PinkPantheress. Saya ikut vibe hari itu — apa sahaja yang selari dengan emosi saya semasa berkarya.
Jika anda boleh mereka untuk mana-mana selebriti, siapakah yang anda pilih dan kenapa?
Impian saya yang paling besar ialah untuk mereka pakaian untuk primadona. Saya amat ingin mereka untuk ikon seperti Sheila Majid atau Dayang Nurfaizah — kerana saya rasa mereka ada kemampuan luar biasa untuk menyampaikan jiwa sesebuah lagu melalui suara mereka. Saya mahu rekaan saya sejajar dengan kehadiran emosi yang begitu kuat.
Kalau saya boleh putar balik masa, saya nak sangat mereka untuk Saloma. Saya rasa kami akan “vibe” — keanggunan dia, karisma dia, flair dramatik dia. Tambahan pula, kebanyakan rekaan saya ada elemen korset, dan saya boleh bayangkan dia bawa siluet tu dengan penuh bergaya.
Adakah anda pernah terfikir untuk berkembang ke bidang lain seperti aksesori, haruman, atau produk gaya hidup?
Sudah tentu! Saya sangat teringin untuk cuba bidang haruman kerana saya percaya bau ada keupayaan unik untuk membawa memori. Ia sesuatu yang sangat peribadi dan intim, dan saya suka idea untuk cipta hubungan emosi macam tu melalui jenama saya. Saya juga berminat untuk teroka beg — tapi dengan cara yang fun dan eksperimental. Saya sendiri suka pakai baju simple tapi aksesori bold, jadi saya teruja untuk cipta beg wearable art, yang dapat melengkapkan penampilan.
Apakah nasihat anda kepada pereka muda yang bercita-cita tinggi?
Nasihat saya: jangan takut untuk jadi pelik, berani, dan 100 peratus diri sendiri. Dunia fesyen Malaysia sedang berkembang, tapi kita perlukan lebih banyak suara yang berani untuk pecahkan acuan dan ceritakan kisah mereka sendiri. Berpijaklah pada warisan anda, tapi jangan takut untuk ubah, modenkan, atau bahkan melawan arus jika itu yang benar untuk anda.
Dan satu lagi, belajar selok-belok perniagaan. Walaupun kreativiti itu penting, untuk kekalkan jenama anda perlukan perancangan kewangan, networking, dan banyak kesabaran. Bina komuniti, buat kolaborasi, dan ingat bahawa hubungan anda kadang-kadang boleh buka pintu yang bakat sahaja tak mampu. Paling penting, percaya pada tempo anda sendiri. Tak semua orang perlu viral semalaman. Tumbuh dengan indah, tumbuh dengan jujur.
Apa yang boleh kami jangkakan daripada anda di KLFW tahun ini?
Tahun ini agak berbeza — saya rasa koleksi ini lebih matang. Rekaan lebih teknikal, dan palet warna lebih lembut dan senyap. Saya mahu tunjuk yang jenama saya boleh berubah, berkembang, dan meneroka mood berbeza sambil kekal pada identitinya. Ia juga satu cabaran kreatif yang menyeronokkan untuk saya — keluar dari zon selesa.
Koleksi ini dibina atas idea melepaskan — melepaskan jangkaan, versi lama diri sendiri, dan menerima perubahan.
Apa satu kata-kata atau motto yang anda pegang dalam hidup?
“You’re valid.”