Mencari baju kurung 2026 yang viral, fomo, trending dan tak awam? Semuanya ada di senarai bawah!
Baju kurung tahun ini menyaksikan koleksi rekaan yang segar dengan permainan warna pastel, sementara elemen sulaman dan selendang bahu masih menguasai rekaan semasa.
Daripada potongan ringkas yang selesa dipakai seharian hinggalah siluet eksklusif yang tampak mahal dan elegan.
Senarai jenama baju kurung 2026 yang menjadi pilihan EH!
TA (Timeless Attire) by Tasnim Shah dan Amin Daniel
Bakal dilancarkan 10 Januari 2026, TA by Tasnim Shah tampil dengan koleksi Raya 2026 yang diberi nama Timeless Syawal, selari dengan aspirasi jenama untuk mengekalkan estetika malar segar dan relevan merentas musim. Koleksi ini mengetengahkan rekaan baju kurung berkonsep minimalis dan ringkas, sesuai digayakan bukan sahaja pada pagi Syawal, malah untuk pelbagai acara lain.
Sebanyak lapan rekaan diperkenalkan dalam koleksi ini, merangkumi pilihan asas yang versatil serta rekaan berunsur lebih mewah, bagi memenuhi cita rasa dan keperluan pelanggan yang berbeza. Dari segi material, TA by Tasnim Shah menggunakan gabungan fabrik chiffon lembut, satin matte, jacquard lembut, twill duchess dan organdi halus bagi memastikan keselesaan serta kemasan yang eksklusif.
Menariknya, lima daripada rekaan hadir bersama selendang tangan percuma sebagai pelengkap gaya. Dikenali dengan rekaan kurung panjang bercorak dan kaftan kurung bercetak, jenama ini memberi fokus kepada motif cetakan yang diilhamkan daripada elemen cat air dan seni lukisan bagi musim ini. Perincian tambahan seperti aplikasi berlian, sulaman tangan serta teknik manik halus turut menyerlahkan nilai estetika setiap rekaan.
Dari segi palet warna, rekaan bercetak menampilkan tona pastel lembut, manakala rekaan polos hadir dalam kombinasi warna berani dan pastel. Koleksi Timeless Syawal ditawarkan pada julat harga bermula RM219 hingga RM398.
Wanzar
Wanzar mempersembahkan tiga rangkaian utama bagi musim Raya 2026, sekali gus menampilkan kepelbagaian rekaan yang menyeluruh untuk seisi keluarga. Seri Raya 2026 merupakan koleksi utama jenama ini yang merangkumi rekaan untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak, dengan penekanan terhadap keseragaman gaya serta keselesaan untuk digayakan sepanjang sambutan Aidilfitri.
Sebagai pelengkap, Nostalgia Raya ’26 tampil sebagai sub-koleksi yang mengetengahkan sentuhan vintaj dengan interpretasi moden. Koleksi ini mengangkat tema nostalgia menerusi penggunaan pola lembut, palet warna tradisional serta siluet moden yang ringkas dan mudah dipadankan, menjadikannya pilihan ideal untuk gaya sedondon sekeluarga yang malar segar dan tidak lapuk dek zaman.
Sementara itu, Pre-Raya Luxe diperkenalkan sebagai koleksi pra-Raya yang lebih elegan dan eksklusif, khusus untuk mereka yang menggemari rekaan berunsur mewah. Menampilkan kemasan yang lebih terperinci serta fabrik premium, koleksi ini ditawarkan menerusi sistem pra-pesanan menjelang musim perayaan.
Keseluruhan koleksi Raya 2026 oleh Wanzar ditawarkan pada julat harga bermula RM259 hingga RM429.
Qiszar – Timeless Raya
Qiszar Timeless Raya 2026 yang menampilkan dua rangkaian utama iaitu Premium dan Maharanee. Koleksi Maharanee tampil sebagai simbol kemewahan dengan penggunaan material Premium Duchess Satin, digabungkan bersama perincian manik (beaded) dan sulaman eksklusif yang halus.
Sementara itu, koleksi Qiszar Timeless Raya 2026 turut mengetengahkan rekaan baju kurung moden berasaskan premium chiffon dengan lace manik eksklusif. Antara ciri utama rekaan termasuk garis leher berbentuk V dengan perincian lace manik gaya Perancis, lengan berpotongan kemas dengan sulaman penuh, serta potongan flare berlapik yang menjurai elegan di bahagian hadapan kurung.
Sebagai nilai tambah, setiap pembelian daripada koleksi premium ini disertakan dengan garment bag eksklusif, sampul raya dan hanger bag bernilai RM175, direka khusus untuk melindungi dan mengekalkan kualiti busana. Koleksi Qiszar Timeless Raya 2026 ditawarkan pada julat harga bermula RM359 hingga RM539.
Rico Rinaldi – Summer Raya 2026
Menerusi permainan fabrik bercorak bunga yang sarat, digandingkan dengan palet warna malap dan berani, serta percikan rona bunga terang sebagai elemen penegasan visual. Rico Rinaldi mempersembahkan koleksi Summer Raya 2026, menampilkan interpretasi segar busana Raya dengan sentuhan artistik yang sofistikated namun tetap praktikal untuk digayakan.
Antara rekaan utama ialah baju kurung moden berpotongan pendek yang ditampilkan dengan kemasan kolar renda berhias manik yang memanjang hingga ke bahagian tengah hadapan, sekali gus mencipta keseimbangan antara struktur moden dan perincian floral yang halus. Menggunakan fabrik printed soft crepe, rekaan ini dilengkapi kolar Mandarin dengan perincian renda dan manik, seeta manakala gabungan warna secara blok berani memberikan pernyataan gaya yang menonjol.
Koleksi Rico Rinaldi Summer Raya 2026 ditawarkan pada julat harga bermula RM209 hingga RM349.
FM by FuzanaMokhtaza
FM by FuzanaMokhtaza mempersembahkan Mekar Eid Bespoke 2026, sebuah koleksi yang berakar pada falsafah keindahan yang tumbuh secara perlahan dan penuh makna. Koleksi eksklusif ini ditawarkan secara bespoke melalui sesi konsultasi peribadi, membolehkan setiap rekaan disesuaikan mengikut cita rasa dan keperluan pelanggan.
Menampilkan palet warna lembut yang diperkayakan dengan sulaman bunga penuh bersama kerja manik halus. Sebagai pelengkap, setiap rekaan disertakan dengan selendang bahu bagi melengkapkan keseluruhan gaya yang minimalis namun berjiwa mewah. Koleksi ini ditawarkan pada julat harga bermula RM1,600 hingga RM2,600, menjadikannya pilihan istimewa buat mereka yang menghargai busana Raya yang bersifat peribadi, eksklusif dan penuh makna.
Petit Moi
Terkenal dengan rekaan ikonik – lekukan pada bahu yang memberikan dimensi bentuk pada tubuh, Petit Moi memperlihatkan pendekatan rekaan yang menggabungkan keanggunan klasik dengan sentuhan moden yang ringan. Membawakan siluet yang beralun lembut dan feminin, di mana corak bunga tekstur yang halus berinteraksi dengan motif polka, gabungan fabrik yang bergerak anggun serta lembut terhadap kulit.
Sentuhan princess cut berasaskan tencel blend floral manakala sulaman bunga kemas dan perincian crochet floral pada lengan serta hujung hem menambah elemen magis pada helaian klasik. Koleksi ini ditawarkan pada julat harga bermula RM126 hingga RM159.
Baca: Koleksi Baju Kurung / Kebaya Bawah RM200, Nampak Mahal & Elegan


















