Lewat Februari lalu, Uniqlo menerbangkan EH! ke Singapura untuk menemubual Pengarah Kreatif Uniqlo Lifewear Magazine, Takahiro Kinoshita yang datang dari Tokyo untuk sama-sama menghadiri acara pelancaran edisi terbaru majalah ini.
Takahiro Kinoshita antara individu yang berpengaruh dalam gelanggang penerbitan di Tokyo. Dia antara orang besar yang mengemudi majalah Popeye (majalah lelaki terkenal di Jepun). Dia yang dilahirkan pada tahun 1968, mula menyertai Magazine House pada tahun 1997. Dia juga pernah dipilih sebagai ‘The 50 Most Stylish Men in Media” oleh majalah Complex. Jadi dari pengalaman dan pencapaiannya tidak hairanlah cita rasa fesyennya dijadikan inspirasi dan kebolehannya disanjungi. Ikuti tembual Pengarah Kreatif EH!, Khairul Abidin bersama Takahiro Kinoshita.
Apakah helaian yang perlu ada untuk membuatkan seseorang itu kelihatan bergaya?
Bagi saya untuk nampak bergaya atau stylish ia tidak terletak pada apa pakain yang kita pilih. Ia sebenarnya bergantung kepada cara kita memakainya. Saya bagi contoh yang mudah, di sekolah semua orang memakai uniform atau baju yang sama, tapi cara setiap orang membawa pakaian itu yang membuatkan ia nampak berbeza. Di pejabat semua orang memakai pakaian formal, tapi tidak semua orang nampak sama kerana pembawaannya berbeza-beza. Berikan perhatian kepada aksesori misalnya jam tangan, kasut mahupun cermin mata, kerana item-item inilah yang menghidupkan penampilan dan membuatkan kita nampak lain dari orang lain.
Apakah item yang dikategorikan sebagai ‘lifewear’ dan apakah yang sebaliknya?
‘Lifewear’ itu bagi saya merujuk kepada helaian yang akan anda pakai berulang-ulang, yang anda beli hari ini, lagi beberapa tahun akan datang pun anda masih menggayakannya. Bagi saya sustainability itu bukan hanya pada material sahaja tetapi berapa lama kita akan menyarung apa yang kita beli. Jika pakai sekali dua sahaja itu bukan ‘lifewear’.
Apakah trend hari ini yang bakal menjadi klasik di masa akan datang?
Bagi saya klasik itu sendiri adalah trend hari ini. Masyarakat dunia hari ini sukakan sesuatu yang lebih asli (authentic), sesuatu yang berevolusid ari segi fabriknya seperti bulu sintetik. Saya percaya ‘airism’ adalah sesuatu yang akan menjadi klasik kerana rekaan muka berbeza tetapi material yang digunakan akan terus evolve.
Sebagai seorang yang bekerja di majalah pasti banyak kisah yang boleh dikongsikan di dalam penerbitan. Apakah kisah yang paling menarik setakat ini?
Saya pernah ke Hamburg dan melihat anak muda berlatih balet. Saya lihat mereka berlatih dengan kesungguhan, saya dapat rasakan keikhlasan mereka dan itu membuat saya menangis. Saya sendiri hairan bagaimana saya boleh menangis walhals aya hanya melihat orang berlatih balet sahaja. Dan kisah ini sudah pun ditulis di dalam Lifewear Magazine edisi yang lepas. Bagi saya melihat anak muda mengejar impian mereka adalah sesuatu yang indah.
Bagaimana untuk kekal berinspirasi?
Bercakap dengan orang seperti temubual ini kerana bagi saya dengan cara ini akan membuat saya lebih mengenali kehidupan orang lain. Membaca majalah dan buku serta keluar bertemu dan bercakap dengan orang akan membuka satu pengalaman dan idea baru.
Apakah cara untuk mengekalkan isi majalah kekal menarik?
Kita mesti menghasilkan sesuatu yang boleh mengejutkan pembaca dan dalam masa yan sama. Usah terikut-ikut dengan cara majalah komersil, perlu ada isi kandungan yang menarik, segar dan berkualiti.
Boleh kongsikan bucketlist kamu?
Kita tak tahu bila kita akan pergi jadi saya mahu perbaiki skil saya bermain tenis (ketawa). Dan bagi saya dalam bucketlist tak semestinya pergi ke tempat yang kita belum pernah pergi tapi juga lokasi yang kita mahu lawati kembali. Saya mahu kembali ke Ubud sekali lagi. Saya pernah sekali ke sana, bagi saya lokasinya sangat dreamy, selesa dan saya sukakan muziknya.
Bagaimana kamu mengasingkan hal kerja dan hal peribadi?
Bagi saya adalah penting untuk kita lakukan sesuatu yang kita suka. Jadi, jika kita suka dengan kerja kita, takkan ada masalah untuk mengimbangi antara kerja dan masa peribadi. Jika kita boleh melibatkan hal kerja dalam waktu peribadi, itu adalah satu kelebihan.
Uniqlo Lifewear Magazine edisi ke-lapan sudah pun berada di butik Uniqlo dan boleh dimiliki secara percuma.
BACA: Koleksi Moden Dan ‘Timeless’, Uniqlo U Musim Bunga/Panas 2023